Monday, 31 December 2012

Penutup 2012

Ya Allah, kenapa rasa macam baru awal bulan 12 ye? Serius terasa baru 2hb 12, tup-tup dah 31hb. Sumpah tak sedar. Mungkin kerana masih mengharapkan ajaib yang tak kunjung tiba, jadi saya berhalusinasi yang penghujung tahun ni bergerak secara slow motion. Ilusi sangat. Dan ada something saya dah janji pada diri sendiri bila berakhir bulan ni. Sebenarnya dah lapuk janji tu, dari bulan-bulan sebelum ni pun buat janji yang sama. Tapi macam biasa lah, janji tinggal janji. Entah-entah, saya masih memungkir janji tersebut untuk bertahun akan datang.

Ikutkan saya nak buat recap ringkas, tapi tak tahu nak mula dari mana. Memandangkan saya tidak lagi menulis aktiviti harian atau kisah peribadi di blog, jadi kebanyakannya memang dah surut dari ingatan. Kalau dulu, boleh jugak belek-belek entries lama, rewind balik apa yang berlaku. Sekarang, tak rewind pun takpe. Saya prefer ada butang stop je terus. Tapi saya berlapang hati dengan major changes yang berlaku tahun ni. Cuma saya berharap moga-moga second version TD dan AK akan kekal untuk bertahun yang lama.

Saya rasa antara faktor utama kenapa sesetengah memori saya tak mahu diingatkan semula ialah kerana saya takut dengan perasaan yang berubah. Tak suka betul dengan isu dalaman ni. Susah nak rawat. Ambil masa. Lama. Sebab tu ada sesetengah perasaan saya simpan dalam bilik kaca 30 meter persegi, biar fit in dalam tu je. Jangan ubah-ubah, even the key pun kita campak dalam sungai.

Bukan apa, bila something happened, semua yang dirasai mungkin dah tak sama dengan sebelum ni. Kalau yang dirasai itu ke arah positif, takpe lah kan. Takde lah cedera sangat fius otak dan salur hati ni. Tapi kalau ke arah negatif, itu yang buat kita menyesal pernah having those feelings.Mula terasa nak tarik balik segala perasan tu..

Wednesday, 26 December 2012

Laporan misi 11-12-13

Alhamdulillah setakat dua minggu pertama saya memulakan misi menulis hal-hal kecil yang menggembirakan di atas kertas, lipat dan simpan dalam kotak pensil, saya masih istiqamah. Cuma, ada lah hari-hari yang saya terlupa untuk tulis, namun keesokannya saya cuba untuk recall semula apa yang telah berlaku. Bagus juga sebenarnya habit yang begini. Sebab kita akan cuba juga untuk cari sekecil-kecil perkara yang membuatkan kita bersyukur dan berlapang dada. Apa yang saya tulis itu tidak lah semua nya yang terlalu menggembirakan, kerana hati dah terbiasa dengan gelumang kusut, jadi adakala susah nak cari at least satu perkara yang menyenangkan. Tapi itulah, kena paksa diri sikit. Kalau tak, kita akan nampak yang buruk je.

Dan untuk hari ni, saya menulis agak awal dari kebiasaan (selalunya pada lewat malam, kali ni sebelum menjengah maghrib, saya capai pensil dan kertas). Bukan apa, excited bila renew lesen kereta dan dapat kad baru yang tertera nombor tarikh lahir untuk tarikh tamat tempoh 2015 nanti. Senang nak ingat. Tapi dalam pada saya menunggu kad disiapkan, terdetik pula di hati, apakah saya sempat berhidup untuk hari kelahiran ke 28 nanti. Lesen yang mati dulu, atau saya ... Okay, jangan wonder banyak sangat lah diya kalau taknak buat perubahan. Malu sikit dengan malaikat sebelah menyebelah (=,=)

PS-Tersenyum kecil bila melihat isi dalam kotak pensil sudah sesuku penuh di dalam nya =)

Friday, 21 December 2012

Anak kucing saya #3

Setibanya di rumah petang tadi, dua krisis anak kucing tiba-tiba melanda. Anak kucing hitam saya yang demam kesejukan tak dapat diselamatkan, dan telah kembali ke rahmatullah, innalillah. Saya sedih tak dapat jaga dia dengan baik. Semalam saya tak tahu yang dia diam sebab sakit, dan bila nak masuk tidur, saya biar je dia tanpa balut dengan kain. Ya Allah, terkilan sangat. Tapi kena redha juga lah dengan ketentuan Tuhan. Anak kucing tu anak angkat sebenarnya, antibodi nya tak kuat, dia paling kecil antara adik beradik nya yang lain.

Dan krisis kedua, anak kucing saya yang bernama Tiger hilang tak dapat dikesan. Tapi bunyi dia meow2 jelas kedengaran. Saya pusing keliling rumah, habis tawaf kat bahagian dalam rumah pun tak jumpa-jumpa jugak. Last2, jumpa dia jenguk kepala dari bumbung rumah yang terbuka siling di dalam tandas, dekat dengan tangki. Sangat lah misteri macam mana dia boleh panjat sampai ke atas. Tiger ni kecik lagi, umur baru 2-3 bulan (kalau ikut umur kucing, baru masuk tadika). Alhamdulillah takde apa berlaku kat dia. Cuma saya masih hairan bin pelik macam mana dia boleh panjat naik sampai ke atas bumbung.

Anak kucing saya #2

Lion in memory. Rest in peace, my dear ...
 Anak-anak kucing saya yang terbaru dan masih kecil ini antara yang paling ramah, manja dan mengada-ngada setakat ni. Mungkin kerana sejak mereka baby saya terbiasa menyentuh dan memicit mereka huhu (perbuatan ini agak obsessive). Sehingga menyebabkan ibu mereka cemburu melihat anak-anak nya tidur atas riba saya, haha pandai jugak kucing cemburu eh.

Saya sebenarnya kalau boleh nak budak-budak ni kekal di usia tadika. Saya taknak mereka membesar. Bila melihat mereka makin bulat perut, panjang ekor, tinggi kaki, rasa macam nak undur masa je. Boleh tak jangan membesar? Bukan apa, nanti kecomelan akan berkurangan, tak best nak picit2 dah, hehe.

PS-Kesian anak kucing hitam saya, macam kena demam =(

Peranan

Dulu-dulu saya pernah terdengar hakikat tentang bagaimana seseorang melihat sekeliling hidup nya, pandangan mereka terhadap sesuatu perkara, benda, nature atau apa saja. Contohnya, mathematicians. Mereka yang pakar dengan angka ini dikatakan melihat sekeliling dalam bentuk mathematical contructs, tak kira lah bangunan, rumah, kereta, taman, kedudukan pokok, anything. Macam dalam movie, yang tiba-tiba muncul formula depan mata. Saya tak percaya mulanya, how could you view's ones life dengan ada angka, pokok is pokok lah kan. Kenapa tiba-tiba pokok boleh produce angka ni? Pokok cuma bebaskan oksigen, apa salah dia? Haha naive.

Tapi lama-lama bila dah meningkat usia, baru saya faham apa yang dimaksudkan. Dan saya sendiri mengalami nya (tapi bukan dengan angka lah, saya tak hebat kira-kira). Saya nampak yang ada di sekeliling ada peranan masing-masing, biarpun sesuatu yang hanya bersifat sekecil-kecil perkara. Mungkin ini harga yang kita dapat bila bertambah usia. Dengan harapan, harga itu kita guna untuk sentiasa belajar menghargai.

Thursday, 20 December 2012

Jejak kasih

Sejak akhir-akhir ini hidup saya dikunjungi oleh mereka yang sangat random dan berlaku juga pada waktu yang random. Tak jangka sebenarnya, sebab orang lain saya mengharap muncul, orang lain pula yang timbul. Tapi saya sangat sangat berbesar hati menerima mereka yang pernah 'hilang' tapi cuba untuk kembali ada dalam hidup saya walaupun ada sesetengah nya saya mahu menjauh diri (ya Allah, perangai teruk betul saya ni).

Saya hairan juga macam mana setelah sekian lama boleh terdetik di ingatan mereka untuk bertanya khabar akan saya yang berciri tiada apa ni. Terharu, bila Tuhan gerakkan hati mereka dan sambungkan ingatan yang pernah putus agak lama. Sebenarnya, ikatan kita-kita ni tak pernah putus selagi bergelar muslim kan. Cuma ada lah masa-masa nya ia renggang seketika. Dan ingatan seseorang pada kita ni takkan pernah hilang, lagi-lagi kalau kita meninggalkan foot print yang jelas dalam hidup mereka.

PS-Tajuk tak agak-agak.

Anak-anak istimewa

Bila membaca kisah anak-anak Palestin yang menyambut mesra rakyat Malaysia yang tiba di sana, sungguh dapat dirasa aman jiwa mereka walaupun saya tidak jejak ke sana. Mereka masih boleh berlaku baik pada insan-insan lain biarpun bumi Palestin tidak kunjung aman. Aman mereka seolah berfrekuensi tetap dalam hati tanpa dipengaruhi petaka yang melanda. Itu jiwa orang yang hebat. Orang yang menggangap Tuhan yang memayung hidup nya, bukan bedil peluru manusia-manusia laknat.

PS-Sakit melihat keperitan mereka, cemburu dalam masa yang sama kerana mereka syahid tanpa sepalit dosa.

Saturday, 15 December 2012

Yang tidak dijangka

Tersebak tiba-tiba pada waktu dan tempat yang tidak sesuai adakala sungguh tidak dapat dikawal. Kerap kali akan cuba mengawal perasaan, tapi masih juga air mata mahu berlumba keluar. Kadang-kadang saya sebak pada waktu yang random, out of nowhere tiba-tiba terusik sanubari (gituuu). Kadang-kadang dengan hanya beberapa ayat mudah yang kedengaran di cuping telinga, pun boleh tersentuh. Dan ayat-ayat itu selalunya ayat-ayat lembut dari mereka yang bersifat lembut. Kalau ayat negatif, takde maknanya saya nak sebak tak tentu hala untuk orang negatif begitu. Orang negatif tak mudah menyentuh perasaan saya, mereka hanya menampar perasaan yang akhirnya membuahkan sumpahan haha.

Berbalik pada kesebakan yang tidak dijangka. Selalunya akan berlaku bila in public, di keliling manusia. Jadi, agak susah juga untuk berlagak macho di hadapan mereka sekiranya saya sedang cuba menahan perasaan. Kaedah yang saya guna untuk tidak terus-terusan dilanda swing mood, ialah saya memikirkan hal-hal comel seperti memutar scenes cerita kartun kegemaran Wreck-It Ralph dalam kepala hehe. Menjadi juga. Tapi kena putar banyak kali, kalau tak nanti saya kembali swing tak tentu pasal.

Monday, 10 December 2012

11-12-13

Oleh kerana saya teruja dengan inspirasi yang datang dari tumblr, maka saya berkeputusan untuk memulakan ia pada hari ini juga. Insha Allah setiap hari bermula 10-12-12 akan ditulis at least satu point pada kertas sebesar tapak tangan berkenaan apa sahaja perkara kecil yang menggembirakan. Perkara gembira sahaja dibenarkan, perkara sedih kita biar je dia larut dengan masa.

Memandangkan saya tidak mempunyai jar atau balang kaca sekarang ni, jadi saya hanya akan menggunakan kotak pensil belang zebra yang tidak digunakan. Bila dah jumpa balang kaca yang sesuai baru ditukarkan dengan kotak pensil tersebut. Dan ikutkan saya nak stapler kertas yang digunakan, tapi susah pula nak buka baca pada 11-12-13 nanti. Jadi, hanya dilipat saja kertas itu.

Mari berdoa agar saya istiqamah.

Saturday, 8 December 2012

Wishlist #4



Minggu lepas kami sekeluarga ada pergi berjimba di taman tema Lost World of Tambun, Perak. Menyeronokkan, banyak sections, spacious dan yang paling penting ia dikelilingi alam hijau. Teruja mahu explore semua bahagian tapi tak berkesempatan masa. Sebagai seorang pencinta haiwan comel, saya masih agak terkilan tidak dapat ke zoo taman tema tersebut. Insha Allah di lain masa, akan serbu ke semua bahagian.

Inbox hati

Saya jarang bercerita apa yang terbuku, terutama apa yang kurang menyenangkan hati. Yang kurang menyenangkan ini, kalau dah delete tapi masih lagi terkandung dalam trash, saya akan bercerita sedikit untuk mengurangkan memory space. Tapi acapkali ia hanya kekal di dalam trash, tidak hilang-hilang. Kerana itu, saya berharap saya lupa password terus. Kalau lupa password untuk inbox hati yang berserpih ni lebih bagus, sebab saya boleh create inbox hati yang baru (macam senang-senang je nak delete the whole inbox hati berserpih).

Manakala yang menyenangkan hati kerap kali masuk inbox memori tanpa di reply / forward kepada sesiapa, dan adakala saya keep unread saja. Bukan tidak mahu berkongsi, seperti share gambar di blog / twitter, cuma bila bertambah usia, saya dah boleh asingkan mana yang sesuai dikongsi dan mana yang patut kekal sebagai drafts sahaja. Dan saya tak rasa orang akan reply dengan sesuatu yang boleh mengelakkan errors. Sebab selalunya, feedback mereka tak compatible dengan hati saya. Tapi bila saya mendapat reply yang membuatkan saya mark as important, demi Allah saya tidak akan remove dia untuk seumur hidup.

Dia akan kekal dalam inbox hati saya, meskipun kewujudan nya tidak hadir depan mata saya. Saya pilih dia bukan kerana apa segala yang dia punya, tapi kerana attach file yang dia hantarkan adalah sesuatu yang tidak pernah saya terima sebelum dan selepas kewujudan nya. Saya tidak mengharap dia kekal, kerana dia juga akan dismiss seperti yang lain. Saya hanya berharap agar Tuhan masih kekalkan ingatan saya pada dia walaupun saya menghidap penyakit Alzheimer bila menginjak tua. Kerana saya tahu setiap starred items dalam inbox hati saya ialah items yang membuatkan saya tersenyum pada diri dan liku hidup yang dilalui...

Sunday, 2 December 2012

Jodoh yang dipalsukan

Adakala saya berasa malu pada Tuhan kerana meminta-minta perkara sama berulang juta kali. Kalau kita meminta perkara sama berulang kali pada manusia, agak-agak kena hamun tak? Paling tidak, berbekas tangan di muka. Tapi kerana Tuhan Maha Sabar, Dia hadap je request sama berulang kali. Terima jugak di setiap detik waktu. Walaupun sebenarnya, Dia mahu menunggu masa yang sesuai untuk 'memberitahu' bahawa request tersebut tidak berbaloi untuk ditunaikan. Malah, mungkin akan mendatangkan mudarat yang lebih besar...

PS-Terima kasih akak, terima kasih untuk semuanya :)

Saturday, 1 December 2012

Sifat yang tidak dapat dibaikpulih

Selain ibu bapa dan adik-adik, saya tidak mudah merasa selesa dengan sesiapa. Meskipun di kalangan mereka yang saya kenal untuk berdekad lama. Energy saya akan lekas lumpuh sekiranya saya dikelilingi mereka selain keluarga dalam jangka masa yang lama. Bila lumpuh, saya akan menjadi manusia paling tidak fun atas muka bumi ini. Dan itu, adalah memenatkan.

Thursday, 29 November 2012

Hati dan permata

Saya admire orang yang menjaga percakapan, yang tidak mudah melepas kata, mempalit salah buta-buta, mencari lemah suka-suka. Hebat orang begini. Hati yang jernih punya penapis yang canggih, tentunya tidak membenarkan apa-apa yang tidak bersih mengalir dalam tubuh sehingga merosakkan maruah anggota. 

Orang kata, jangan nilai kulit buku jika belum telaah isinya. Kiranya orang mahu kita jangan memandang luaran semata-mata. Itu betul juga. Tetapi jika prolog kata pada awal muka sudah menutur bau cuka, apakah sudi kita menyelak laman berikutnya?

Glob bermusim

Semenjak setahun dua ini, saya umpama bermastautin dalam satu glob yang punya cuaca tidak menentu berselang kali. Kadang ia kemarau panjang, sejuk bersalji, luruh dedaun, hujan gerimis, ribut petala, guruh berkala, banjir kilat dan sangat jarang dikunjungi semusim bunga. Sekuntum adakala, duri pula terasa.

Saya paling boleh tolerate melankoli musim luruh walaupun bunga indah cantik rupawan dan salji gebu menebar nyaman. Saya tetap dengan daun yang bertabur di lantai bumi. Sekurang-kurangnya saya ada peneman ketika beralas duduk.

Anehnya glob saya ini, hanya saya sahaja yang melintas rasa kesemua musim yang bertali arus dalam satu masa. Seolah pintu terkatup dengan sepuluh ratus mangga terikat rapat. Linkungan glob ini juga mempunyai radius (jejari) yang kecil. Makin lama makin mengecil. Sehingga terasa seperti saya sedang kehabisan oksigen yang disimpan terlalu lama.

Tuesday, 20 November 2012

Instagram yang tertinggal

Dari dahulu lagi saya mudah menaruh kagum pada mereka yang hebat melukis. Bila melihat tangan mereka melakar sesuatu dan tiba-tiba ia membentuk satu lukisan lengkap di atas kertas, mula lah saya terlopong dan in awe seorang diri. Sakti apakah ini? Saya pun mahu juga! Begitulah monolog saya setiap kali pun.

Masa kecil-kecil dahulu ada juga belajar melukis ciptaan Tuhan, seperti matahari, awan, burung, bukit, sungai, sawah padi, pokok, rumah dan yang sewaktu dengannya (rindu pula zaman kanak-kanak ria). Bila dah membesar, tidak timbul pula keinginan untuk sambung melukis. Maka, membentuk lah saya sebagai seorang orang yang hanya tahu lukis orang lidi.

Kenapa saya kagum ber-ia sangat? Ada sesetengah situasi yang tergambar dalam fikiran, saya tidak dapat terjemahkan melalui lenggok bahasa. Rumit untuk di translasi. Ia hanya membentuk satu instagram yang nyata dalam kotak fikir, tanpa apa-apa captions. Sudahnya, instagram itu kekal begitu atau terkubur dalam fikiran sampai bila-bila. Sayang rasanya. Sebab tak dapat transkrip kan apa yang terbuku di alam fikiran.

PS-Kalau ada kamera yang boleh ambil gambar instagram dalam fikiran pun bagus juga.

Monday, 19 November 2012

Kota luas tanpa penghuni

Saya masih sentiasa jatuh cinta dengan kerajaan langit setiap kali terbang membelah awan. Ada kala saya nampak awan seperti gula-gula kapas gergasi, ada kala saya nampak awan seperti permukaan rata lautan hindi, ada kala saya nampak awan seperti iceberg yang tumbuh bergerigi, ada kala saya nampak awan seperti gunung putih disalut salji, dan ada kala saya nampak awan seperti hamparan luas tidak berhujung dan tidak bertepi. Seperti kota luas tanpa penghuni. Bebas dan sunyi.

Saya suka begini.

PS-Mungkin gambar 'floating in the air' di muka belakang, adalah satu-satunya gambar yang wujud dalam blog ini (buat masa sekarang). Saya sangat kurang rajin upload gambar. Kerana itu, saya amat beryakin bahawa pembaca blog ini adalah rajin-rajin membaca semuanya.

Saturday, 17 November 2012

Mimpi dan air mata

Semenjak kebelakangan ini, saya agak kerap menangis ketika tidur, ketika sedang bermimpi. Saya sentiasa 'sedar' bila ada air mata sedang basah di pipi. Cuma bila terjaga, saya kerap terlupa apa yang terkandung dalam mimpi sehingga membuatkan saya menangis. Tapi baru semalam, saya menangis lebih 3 kali untuk tidur selama tidak sampai 3 jam. Bila terjaga, saya boleh recall sedikit sebanyak momen dalam mimpi tersebut. Dan bila diselidik, momen-momen itu tidak lah menyedihkan atau menyakitkan. Hanya lah momen mimpi biasa yang pelik susunan sekelilingnya. Lantas, apa yang membuatkan saya menangis sebenarnya ni?

Wednesday, 14 November 2012

Nama baru sempena tahun baru

Alhamdulillah sempat lagi kita menjengah tahun baru hijrah 1434. Kita tutup lembaran lama, dan buka lembaran baru. Biasanya tahun baru masihi kita disogok dengan pertanyaan azam baru, manakala tahun baru hijrah kurang diberi penekanan. Tapi sebenarnya, kalau mahu berazam tidak perlu tunggu tahun baru pun. Setiap hari kita boleh renew azam baru.

Cuma ini pertama kali saya terlintas hendak memasang azam untuk tahun baru hijrah. Agak bercampur aduk juga azam saya ni, macam banyak yang perlu diperbetulkan. Tapi hanya satu sahaja lah yang saya ingin kongsi. Satu yang saya minta pada Tuhan, ialah moga-moga saya tidak lupa diri dan tidak bermegah-megah dengan apa yang saya punya. Saya sangat bimbang akan hal ini. Bimbang kalau-kalau Dia pesongkan hati saya sekiranya saya mencari kepujian yang bukan hak milik saya.

Terasa seperti bukan berazam pula. Mungkin lebih kepada harapan?

Diya Uzayr

Telah muktamad saya mahu peneman nama 'Diya'. Sekian lama juga 'Diya' bergerak secara solo. Semenjak awal-awal pembabitan dalam dunia blog lagi saya hanya menggunakan nama 'Diya'. Akhirnya saya berkeputusan untuk memaktubkan ia bersebelahan dengan nama 'Uzayr'.

Sebenarnya telah beberapa bulan saya terfikir akan nama 'Uzayr', cuma saya masih tidak pasti apakah ada nama lain yang lebih sesuai untuk digandingkan. Tapi makin cari, makin tak jumpa pula. Dan officially, saya hanya mahu dengan nama 'Uzayr'. Apa yang special sangat? Nama ehem-ehem ke? Hehe tidak sama sekali. Saya tak pernah kenal sesiapa yang bernama 'Uzayr' pun sedari dulu. Saya ambil nama ini bersempena nama Nabi Uzair a.s.

Semasa kecil saya ada didedahkan dengan kisah-kisah Nabi, siap hafal nama-nama 25 Nabi kita (okay, terpengaruh dengan lagu kumpulan Raihan). Tapi dari dahulu hingga sekarang hanya 25 Nabi sahaja yang didedahkan kisah-kisah nya. Sedangkan ada lagi beberapa Nabi lain yang dipilih Allah. Salah seorang nya ialah Nabi Uzair a.s.

Kerana itu, saya berharap untuk berhidup dengan 'nasib' seperti Nabi Uzair. Nama nya jarang disebut-sebut oleh manusia, tetapi ia menjadi perbualan di kalangan para malaikat :)

Tuesday, 13 November 2012

Menjadi diri

Bila saya tidak lagi menaruh minat akan sesuatu atau benda (yang saya pernah 'suka' dahulu), saya sangkakan saya telah berubah menjadi orang baru. Rupanya saya silap. Saya masih Diya yang sama. Diya yang tidak pernah minat / suka akan perkara tersebut. Sebelum ini, saya sebenarnya cuba menjadi yang bukan Diya, menjadi diri yang tidak pernah ada pada Diya.

Tidak ada apa yang menyeronokkan dengan menjadi yang bukan diri kita. Akhirnya akan terasa penat dan sia-sia. Kalau suka sesuatu, suka sahaja lah. Kalau tak suka sesuatu yang orang suka, buat apa nak pura-pura suka apa yang mereka suka. Tak bermakna orang lain berpusu ke lorong A, awak pun sibuk nak menyeberang lorong A jugak. Sedangkan lorong Z masih kosong terbentang luas.

Matang sebelum usia

Setiap kali menjengah kedai buku, saya jarang membimbit keluar buku. Kebiasaannya, hanya meronda-ronda dari satu bahagian ke satu bahagian, duduk / berdiri baca beberapa buah, lalu beredar begitu saja. Saya sedar akan diri yang sukar untuk membulat keputusan (akan buku mana yang harus dibeli) dan diri yang sukar menghabiskan laman helai buku sekiranya dibeli. Tapi selalunya, faktor utama adalah kerana buku yang saya mahu adalah berciri mahal-mahal belaka. Itu la masalah yang sebenarnya.

Okay habis pengenalan. Masuk pada point utama. Baru-baru ni, saya ada buat lawatan ke kedai buku. Bila bergerak dari satu bahagian ke bahagian lain, saya terpana seketika bila ternampak seorang budak lelaki paras bawah bahu saya (hint : saya agak rendang) sedang membaca buku ceramah Ustaz Azhar Idrus. Mental breakdown dua saat, iskk biar betul, budak ni faham ke apa dia baca? Biasanya budak2 sebaya dia ada di bahagian komik sahaja. Tengok fizikal nampak macam darjah 3 / 4. Malu pun ada. Saya dah tua bangka ni pun jarang sentuh buku agama, ternampak pula yang muda belia khusyuk membaca buku tersebut. Bertampal-tampal muka rasanya.

Tapi saya syak mungkin dia sebenarnya orang dewasa yang terperangkap dalam tubuh kanak-kanak. Ahah! Seperti Shinichi yang terpaksa menyamar sebagai Conan Edogawa. Mana tahu kan (cover malu namanya ni).

Monday, 12 November 2012

Berpuas hati dengan hidup yang dipilih sendiri

Adalah satu aspek yang ramai orang tidak faham kerana ramai di antara mereka sentiasa cuba untuk membetulkan orang lain atas dasar eh-kau-kena-ikut-cara-aku,cara-aku-paling-betul. Bagi saya, tidak ada yang salah bila ia melibatkan sesuatu yang kita namakan sebagai contentment. Kalau apa yang kita selesa itu tidak bertentangan dengan garis panduan Islam malah mengikut apa yang ditetapkan sunnah, teruskan sahaja. Jangan berpaling pada apa yang kita telah pilih. Manusia tumpul ilmu, biasanya sibuk membetulkan orang lain berbanding diri sendiri #notetoself.

Friday, 9 November 2012

Wishlist #3

Walaupun saya berciri introverts tapi jiwa saya sangat gemarkan sesuatu yang extreme. Salah satunya ialah melakukan aktiviti lasak. Kadang-kadang meronta-ronta juga jiwa saya dibuatnya kerana tidak berpeluang melakukan aktiviti sebegitu. Seingat saya, saya tidak ada kenalan rapat (perempuan) yang gemarkan adventure seperti jungle trekking dan mendaki gunung. Mereka lebih suka aktiviti santai seperti mall trekking (?) dan menonton wayang. Saya enjoy juga aktiviti begini, cuma adakala saya mahu lakukan sesuatu yang boleh membuatkan saya berpeluh. Maka, tinggal lah saya Diya the explorer (?) dalam angan-angan sahaja.

Mendaki gunung tidak semudah yang disangka. Banyak aspek yang perlu dititikberatkan. Tambah2 kalau perlu mengambil masa beberapa hari untuk sampai ke puncak. Dan kita bukannya naik dengan lenggang kangkong, ada backpack sekali yang kita kena dukung. Bila baca pengalaman2 mereka yang pernah mendaki, kalau tak stretching dan tak biasa exercises, akan mudah cramp kaki. Sebab tu, saya risau untuk join group mendaki yang tidak dikenali. Nanti banyak pula songeh saya yang mereka tak tahan, tak pasal2 nanti saya kena tinggal.

Kalau tempat tidur, saya tak kisah mana. Saya fleksibel, campak dalam gua pun boleh tidur lena. Cuma bila diteliti semula dari segi aspek mental, agak scary ye. Fizikal kuat pun belum tentu mental mampu bertahan.

Di ambang usia 'krtitikal'

Sepanjang 25 tahun berhidup atas muka bumi ini, baru akhir-akhir ni perkataan kahwin kerap menjengah jendela fikiran saya. Bukan fikir dari segi 'mahu kahwin', tapi lebih fikir kepada 'patutkah kahwin'. Saya rasa hampir semua yang berusia lebih kurang dengan saya, akan hadap pelbagai unsur gesaan dari segenap penjuru. Budak belia remaja pun sibuk nak tanya kita okay. Dan saya, saya bukan jenis ambil port sangat apa orang nak tanya / kata. Lantaklah mulut mereka nak berbunyi sampai herot, asalkan tak ganggu hidup saya. Bukan nya saya dapat duit apa pun bila mereka berbunyi. So, what's the point nak ambil pusing kan?

Saya dah tak berharap apa akan siapa, bagaimana, bila saya akan bertemu dengan my future spouse. Kalau ada, ada lah. Kalau tak ada pun, mungkin itu yang terbaik untuk saya. Tapi saya percaya dengan janji Tuhan bahawa setiap kita dijadikan berpasang-pasangan untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Dan saya juga percaya apa yang telah termaktub itu akan tiba pada masa yang sesuai. Allahu'alim.

Thursday, 8 November 2012

Bonding moments

Ada dua jenis momen yang boleh membuatkan saya berasa dekat dengan seseorang
  • momen di mana dia bercerita hal peribadi / masalah yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa
  • dan momen bila mana kami berkongsi minat yang sama
Saya seorang yang cranky secara halus, saya janggal dengan kebanyakan makhluk bercakap dan saya terlalu 'bergantung' pada ikatan kimia. Jadi, untuk memastikan satu-satu perhubungan itu berterusan dan berjalan lancar, saya perlu satu, dua atau lebih alasan kukuh supaya ia tidak stuck dengan tiba-tiba. Alasan kukuh itu termasuk lah perkongsian minat yang sama. Dan ini, adalah sesuatu yang paling saya tak boleh pura-pura. Kalau dah minat, saya takkan selindung dari orang yang minat perkara sama. Terutama minat yang solid. Tapi kalau tiada satu subset pun yang bertindan dengan seseorang tu, semuanya akan terasa tidak kena. Umpama saya hidup sebagai carpet dan dia adalah jam dinding. Jauh beza kan?

Manakala bila seseorang bercerita sesuatu yang sangat personal, saya akan berasa seperti sedang terbang ke dunia lain. Terpinga-pinga, dan seakan tidak percaya apa yang sedang dilalami. Tapi saya sangat hargai bila orang percaya kita untuk simpan cerita sakit dia, walaupun sebenarnya saya tidak pandai bermadah kata memujuk segala. Secara bertaip / bertulis begini boleh la saya berpujangga (kononnya), tapi bila berdepan saya akan kelu seribu bahasa. Saya agak reaction-less punya orang, sampai adakala rasa bersalah juga sebab kita tak membantu mana. Paling kurang, saya akan cuba untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

PS-Bonding itu tidak hanya ditebus dengan luang masa bersama, tapi hati yang kekal merasa sama.

Wednesday, 7 November 2012

The heart wants what it wants

Kadang-kadang bila saya terlalu lama mahukan sesuatu, dan terlalu mahu akan sesuatu itu, sampai satu ketika, saya menjadi lupa kenapa saya mahukan ia pada mulanya. Dan kadang-kadang saya menjadi hairan pada diri yang terlalu banyak mahukan sesuatu tetapi terlalu sedikit tindakan nya. Mungkin kerana saya kerap juga dihadang dengan pelbagai lapis rintangan dan halangan untuk mencapai sesuatu tersebut. Macam tersesat dalam taman Alice di alam ajaib pula rasanya. Cuma bezanya Alice bertemu arnab, kucing dan sang beluncas yang boleh bercakap, langsung membuatkan saya cemburu (?)

Tapi untuk putus asa dengan kebanyakan yang saya mahu itu mungkin saya perlu bertemu mata dengan arnab, kucing dan sang beluncas yang boleh bercakap terlebih dahulu.

Sempurna yang tidak pernah wujud

Dulu, bila orang point it out kelemahan saya, saya akan melenting terus. Samada secara diam atau berdepan (jarang sangat berdepan ni). Like, eh awak siapa ha nak tuding2 saya ni? Gangster lah sikit hati saya berbunyi. Tapi lama-lama, bila orang point it out begitu begini, saya rasa ek eleh aku dah tahu semua tu, kau ketinggalan 10 gerabak keretapi la. Kesian kau kena harung lagi 10 gerabak untuk kenal aku. Gangster banyak pulak hati saya berbunyi. Tapi gangster in a good way kot (?)

Since saya sedar yang badan saya ni bukan hanya dikelilingi elektron positif, jadi saya cuba acknowledge semua elektron negatif supaya mereka tidak rasa terpinggir. Dan saya rasa bila saya acknowledge kehadiran mereka, mereka akan behave dengan cuba berbaik-baik dengan elektron positif. Kadang-kadang saya boleh dengar mereka sedang berbual-bual dan minum petang bersama (okay, creepy pulak bunyinya yang ni). Tapi begitu lah lebih kurang perumpamaan nya. Mereka lebih tenang, dan tidak bertelagah sesama sendiri untuk menangkan masing-masing.

Di mana awak, Doraemon?

Dalam banyak-banyak alat yang ada dalam poket Doraemon, saya paling dan tersangat paling teringin untuk 'curi' cat lutsinar dia. The one yang bila disapu pada badan, kita akan hilang dari pandangan manusia. Dan kita boleh bergerak di sekeliling mereka tanpa diketahui, dihakimi akan segala sesuatu yang kita lakukan atau miliki. Yes, ghaib terus. Tak perlu hadap mulut-mulut yang tak berkenaan. Tapi dalam masa yang sama kita boleh tengok keadaan sekeliling. Sangat nice kan? Cuma cat lutsinar tu hanya berkesan for a few hours. Mungkin saya akan minta Doraemon upgrade cat tu supaya berkesan untuk beberapa hari. Saya mahu invi dengan agak lama.

Tuesday, 6 November 2012

Warna kegemaran

Saya pernah ditanya tentang warna kegemaran. Walaupun soalannya kedengaran sangat mudah, semudah jawapan budak umur dua tahun, tapi saya ada mengalami masalah untuk memilih jenis warna yang digemari. Dan warna kegemaran saya sebenarnya agak bermusim. Ada ketikanya saya suka warna hijau, ada ketika warna putih, ada juga warna kuning, kemudian ungu, bertukar pula warna coklat, kadang-kadang warna hitam pula, haihh sangat tidak tetap.

Jawapan yang saya beri pada dia - hijau, putih dan coklat. Dan dia suruh juga pilih salah satu. Akhirnya setelah berperang dengan diri sendiri, saya pilih warna coklat. Salah satu deskripsi (dari buku) dia beritahu pada saya yang gemarkan warna coklat dan saya masih ingat sampai sekarang - sukar untuk membuat keputusan, dan setelah membuat keputusan, akan berasa ragu dengan keputusan tersebut. 

PS-I'm a chocolate lover anyway.

Sunday, 4 November 2012

Impian #4

Saya sedang diasak dengan keinginan untuk travel, alone! Tak tahu apa yang sedang merasuk, tapi sedang merancang apa yang patut. Ini agak all of a sudden, itu yang tak berharap sangat. Kalau Allah tak izin pun mungkin ada hikmahnya.

3-4 tahun yang lepas pun saya sudah berangan-angan mahu mengembara seorang diri. Walaupun saya sebenarnya dah banyak kali 'mengembara' seorang diri, tapi kali ini mungkin agak berlainan sikit sebab saya sedang berkeinginan untuk pergi ke tempat yang saya tidak pernah jejak dan tempat yang tidak ada orang kenal.

Saturday, 3 November 2012

That little part


Saya masih ingat impresi saya ketika pertama kali lihat reaksi Will Smith (sebagai Chris) di akhir cerita. Ketika itu, lebih kepada rasa kagum terhadap lakonan beliau yang sangat superb kerana dapat applied pelbagai tona perasaan dalam satu wajah pada satu masa.

Dan untuk klip video selama 2 minit ini, saya menangis teresak-esak walau tanpa saya menonton semula movie ini. Bukan lagi kerana kagum, tapi kerana cemburu pada Chris yang akhirnya jumpa satu bahagian kecil hidup dia yang melengkapkan keseluruhannya.

Friday, 2 November 2012

Yang lepas, biarkan berlalu

Ada ketikanya, timbul keinginan untuk bercerita tentang peristiwa dan mereka yang ada di sekeliling seperti sebelum nya, tetapi mengenangkan saya telah melepasi fasa 'gemar bercerita', jadi agak sukar untuk saya mengembalikan semula aura lama.

Mungkin ada hikmah kenapa saya tidak lagi bergelumang dengan perkara-perkara yang berlalu. Biarlah yang dulu kekal di sana, saya mahu hargai saya yang baru di sini. Tambah pula, saya tidak tahu di mana dan bagaimana saya perlu mula bercerita hal hari-hari, banyak yang telah berubah semenjak kali terakhir saya berhenti. Dan ada banyak perkara yang berlaku di hari-hari adakala saya tidak mahu buka lipatannya di kemudian hari. Ya, ada banyak perkara yang saya mahu lupa dengan begitu sahaja.

Thursday, 1 November 2012

Mula baru #2

Saya rindukan diri yang telah hilang, yang saya tidak pasti kemana ia terbang. Sedar-sedar saya telah berubah menjadi seseorang yang saya sendiri tidak jangka ketika saya berusia 5 tahun lebih muda dari usia sekarang. Apakah ini dinamakan perubahan fasa hidup? Sangat pelik, unik, ralat, semua bercampur baur. Saya sebenarnya tidak pasti di mana, bagaimana, bila mahu mula langkah baru. Tapi saya pasti saya mahu sesuatu yang baru dalam hidup saya, walaupun hanya sekilas angin.

Sunday, 7 October 2012

Doa itu yang terlalu ampuh

Have u ever heard ‘doa itu senjata orang mukmin?’ Indeed. Doa itu tersangat-sangat powerful. Kalau guna hiperbola, ia ibarat senjata gergasi yang mampu meranapkan tembok besar Cina!

Thursday, 20 September 2012

56 perkara


Saya terjumpa buku nota sebesar tapak tangan berwarna coklat yang saya pernah jadikan ia sebagai ‘kotak besi’ menyimpan angan-angan. Dalam beberapa singkat masa, saya senaraikan 56 perkara yang saya mahu lakukan. Saya tak pasti bila saya catatkan kesemua 56 itu, tahun lepas kot? Ya, dah lama, saya terus lupa untuk sambung bila berhenti takat angka 56.

PS-Bila baca2 semula, tak sangka boleh terlintas segala keinginan tu dan hampir kesemuanya MASIH berpaut pada dahan impian saya!

Tentang paparan di laman sosial

Dari dulu saya agak kurang selesa untuk menonjolkan diri. Kerana itu dalam konteks berkongsi gambar di laman sosial, sangat jarang saya lakukan sedemikian. Saya tidak merasa perlu untuk itu. Malah di alam nyata, saya tidak lagi syok sendiri ambil gambar sendiri (faktor pentuaan mungkin? haha).

Tapi saya tidak ada masalah dengan mereka2 yang gemar berkongsi gambar di laman sosial. Itu hak masing-masing, bukan mereka mengganggu hidup saya pun. Cuma mungkin ini yang telah tertanam dalam diri, saya kurang berminat dengan kaum berlawanan jenis yang terlalu menonjolkan diri di alam maya. I mean, the photos, self-portraits, the daily life tales, haihhh jenis yang semua mahu kongsi pada seantero dunia begini lekas menjurus kepada istilah ‘major turn off’

Saturday, 15 September 2012

Berserah

Saya tidak mahu mempersoalkan, tapi sebagai manusia yang tidak punya antena masa depan, saya sering tertanya-tanya apakah surat jawapan yang saya pernah terima sebelum ini adalah palsu atau cuma ujian sementara atau tersilap alamatnya. Allahu’alim.

Momen rawak

Kadang-kadang saya tidak dapat tentukan momen yang bagaimana sebenarnya yang membuatkan hati saya dibalut gula-gula kapas. Adakala momen tersebut, saya enjoy hanya di ketika sarang waktu itu sahaja. Bila masa berlalu, bila saya mengingatinya semula, saya tidak tersenyum sendiri malah hati saya hanya kaku tanpa menikmati.

Namun, ada juga momen yang saya hanya terasa biasa-biasa sahaja di ketika itu, tetapi apabila saya mengingatinya semula tiba-tiba terdetak di hati ‘I like that moment’. Saya suka momen di mana pada malam hari saya berada di tempat berlainan, dan pada siangnya saya melihat persekitaran yang berlainan pula. Menyelusur jalan-jalan di setiap ketika, tidak lelapkan mata, melontar pandang ke luar jendela, menghayati hujan yang turun menimpa, melihat perubahan rona warna langit yang malamnya kelam siangnya bertebaran jingga warnanya, menghirup udara pagi yang berbeza notanya, menyaksi bangunan-bangunan yang tegak melata, ya, menyaksi persekitaran yang jauh berbeda dari sekitar malam sebelumnya. I like that moment.

Tuesday, 11 September 2012

September 11

Masha Allah, patutlah saya melancholy tak tentu pasal sejak dari buka mata bangun awal pagi, hingga tersedu-sedu di tengahari, sampai lah ke hujung petang ini. Rupanya telah genap setahun. Setahun yang tak pernah berubah, apatah berkurang.

Saturday, 8 September 2012

Tidak perlu

As much as saya semakin kurang gemar bercerita hal personal, saya juga tidak berkenan jika si dia (yang bakal mengharung kehidupan bersama) bercerita hal personal (i mean, kisah lovey dovey) di khalayak masyarakat (be it maya nor reality). Tak perlu dia membuat blog untuk saya, tak perlu dia terbitkan buku untuk saya. Kalau dia buat blog, atau buku sekalipun, saya mahu cuma saya sahaja yang baca.

Saya langsung tidak mengharap dia bercerita, bahkan saya mengharap agar cerita-cerita kami hanya berlegar di antara kami sahaja. Biar cuma saya tahu apa yang dia tahu, dan biar cuma dia tahu apa yang saya tahu. Langsung tak kisah kalau orang lain tak tahu.

Pasang surut

Saya sering tersenyum bila mengenangkan pasang surut blog dari tahun ke tahun. Atau lebih tepat perubahan yang saya alami. Dalam hati, bersyukur juga kerana Allah beri peluang untuk saya kalamkan carta diri dari semasa ke semasa. Dari situ boleh saksi sendiri perbezaan ketara saya yang 5 tahun dahulu, sekarang, dan moga-moga Allah masih beri peluang saya menjadi saksi saya yang 5 tahun akan datang.

Dan saya tak kejar apa-apa melalui blog yang dikongsi, tapi saya sangat hargai setiap patah yang anda baca. Mana yang baik, kita ambil teladan untuk masa depan. Mana yang kurang baik, jangan disimpan hingga menutup mata depan.

Friday, 7 September 2012

Memori yang tertinggal

Adakala saya mengalami kesukaran untuk menerima semula orang yang pernah wujud dalam memori pahit yang lepas. Kalau tidak pahit sekalipun, memori masam, masin juga termasuk memori yang saya mahu luputkan. Adakala bukan orang tersebut yang berkait dengan memori pahit, masam, masin, tapi disebabkan dia wujud dalam ruang masa yang sama, maka saya tidak mampu untuk mengasingkan kewujudan dia pada masa ‘salah’ itu. Seperti memotong bawang besar, terpercik pedih ke mata, walau tangan yang melakukan tugas.

Dan saya kagum pada mereka yang mudah ‘mengampunkan’ segala memori lepas atau dalam bahasa mudah ; move on.

Thursday, 6 September 2012

Tulis

Di satu ketika, saya hanya mahu dikenali pada apa yang saya tulis. Bukan latar belakang, bukan pencapaian, bukan pekerjaan, bukan paras rupa, bukan siapa-siapa. Hanya yang saya tulis.

Menulis untuk jiwa

Saya mula terbit keinginan untuk menulis, ketika di usia 14 tahun. Tetapi keinginan itu tidak diasah, hanya menulis biasa-biasa dan tergantung begitu sahaja. Sehingga lah saya di usia 17 tahun, saya seakan ‘mabuk’ dengan imaginasi yang direka sendiri.

Kerana itu, saya terdesak untuk mengurangkan ‘mabuk’ tersebut dengan menulis dan terus menulis berkajang banyak perkataan nya. Ya, banyak juga yang saya tulis (taip) di ketika itu. Bahkan, bila saya baca semula apa yang saya tulis itu, seakan tidak percaya ayat-ayat tersebut pernah terlintas di fikiran dan ditaip oleh tangan sendiri. Alhamdulillah. Semuanya ilham dari Tuhan.

Tetapi bila di ambang usia 20an, minat untuk menyusun koordinat imaginasi mula luntur. Saya tidak lagi (telah semakin kurang) berimaginasi akan sesuatu yang tidak wujud di sekeliling. Saya hanya menulis berdasarkan tafsiran yang jelas ada depan mata, atau yang wujud dalam dunia nyata. Alhamdulillah Tuhan masih lagi memberi ilham akan perkataan-perkataan yang baik dan sesuai untuk saya gunakan. Walaupun adakala saya terasa pelik juga bagaimana sesetengah perkataan boleh muncul dalam kotak minda saya (sedangkan perkataan2 itu tidak saya jumpa dalam mana-mana bentuk pembacaan), namun dari situ lah saya sedar akan kehebatan Nya yang menghantar satu-persatu abjad secara langsung dan tersembunyi.

Thursday, 30 August 2012

Intro vs extro

Sebelum ini, saya ada berharap percent extroverts saya lebih banyak dari introverts. Supaya saya boleh sampaikan apa yang berlegar di fikiran direct terus kepada yang ada di sekeliling. Tapi sekarang, saya sangat bersyukur kerana Tuhan kawal kuantiti extro saya supaya tidak melebihi kuota introverts saya yang pada asalnya. Mungkin Dia bimbang kalau2 saya sering tergelincir kata yang boleh menghancurkan hati-hati. Nauzubillah. Memang betul lah perumpamaan, lidah itu lebih menghunus dari bilah pedang.

Tafsir diri

Saya pernah melalui zaman yang terbawa-bawa oleh arus permodenan atau spesifikasinya terikut-ikut dengan fesyen terkini. Mungkin faktor sekeliling, atau mungkin faktor jati diri saya yang tidak kuat. Tidak, saya tidak memaksudkan yang mengikut arus fesyen itu tiada jati diri. Cuma saya merasakan saya berfesyen hanya kerana mahu mengangkat bakul self-esteem. Dulu saya rasa good-good bila orang pandang-pandang (oh well, girls will always be girls). Tapi lama-lama saya rasa sangat fake dan bertopeng lapan belas lapis. Dan makin lama, makin saya rimas dipandang!

Ye, saya tahu penampilan is another thing. Tapi, asalkan kemas dan bersih should be okay lah kan. Dan saya tak rasa dengan memakai make up tebal-tebal hari-hari boleh menyelamatkan muka saya dari dimakan ulat suatu hari nanti.

Persoalannya, kenapa saya perlu menjadi diri yang ditafsir masyarakat sedangkan saya boleh cuba menjadi diri yang ditafsir oleh Tuhan?

Impian #3

Saya sering tertanya-tanya, apakah kucing merasa sunyi bila berhidup seekor diri? Tidur di tempat asing, keseorangan. Meguis makanan, keseorangan. Berjalan-jalan juga keseorangan. Kerana saya seperti terdengar derap bunyi sepi (?) setiap kali melihat mereka di tepi-tepi jalan, celah-celah sampah, bawah-bawah kerusi.

Insha Allah, kalau saya punya rezeki wang dan masa yang lebih di masa akan datang, saya mahu membuka Pusat Penjagaan Kucing atau Agensi Menjaga Kucing (hehe comel pula bunyinya). Sekurang-kurangnya kucing yang keseorangan akan ada kawan, tempat berteduh serta makanan yang bersih.

Wednesday, 29 August 2012

25

Di ambang usia 25, saya telah merasai pelbagai jenis perisa perasaan yang bercampur baur. Telah melalui pelbagai bentuk serangan perasaan yang bertalu-talu. Bahkan telah melalui fasa tidak berperasaan langsung.

Tidak banyak yang saya mahu pinta bila sudah dewasa begini (err dewasa?). Saya cuma harap beberapa impian dan wishlists dapat dilaksanakan segera mungkin. Supaya saya tak kesal di kemudian hari tua.

Kerana saya percaya yang urat-urat kesal akan sesuatu yang tidak dapat ditunaikan lebih banyak berselirat berbanding urat-urat kesal terhadap apa yang pernah kita lakukan.

Masa emas

Ya, masa itu lombong emas. Kalau tidak ‘digali’, ia akan terbiar begitu sahaja. Dan masa yang terpaling emas ialah ketika kita sedang beredar zaman remaja ke zaman dewasa. Saya percaya di usia 18-24, ialah masa yang sangat kritikal dalam pembentukan peribadi, personaliti dan karektor. Kebanyakan karektor yang kita bentuk di rangka usia ini, kita akan drag hingga ke usia dewasa. Seolah-olah kita sedang membina istana pasir di tepian pantai.

Bermula dengan beberapa tingkat utama, sehingga ke mercu bendera, ada juga kubu pertahanan di sekeliling, termasuk tembok-tembok yang memagari, semuanya mempunyai aspek-aspek tertentu demi memastikan istana kelihatan gah dan selamat. Kalau sehebat mana pun istana pasir yang dibina, tapi ia dibina sangat berhampiran dengan pesisir pantai (tidak kena tempat), pasti akan musnah jua dibilas ombak kecil. Timing pun sama, kalau bina waktu air pasang pun akan hancur juga kubu-kubu tersebut.

Ini yang saya maksudkan dengan masa emas yang saya sendiri bina dengan sambil lewa. Ia tidak musnah, kerana saya bina di tempat yang terpencil. Tapi istana pasir saya tidak lengkap struktur bangunan nya, banyak lompang sana sini. Ketika saya tersedar yang istana pasir saya kelihatan jauh berbeza dari mereka yang lain, saya telah pun melepasi usia ‘emas’ tersebut…

PS-Sangat-sangat beruntung mereka2 yang dikurniakan hadiah matang seawal usia remaja.

Tuesday, 28 August 2012

Belajar menerima

Kerana saya terlalu cuba mengawal hati sendiri, saya mula mencederakan banyak hati yang lain. Tapi saya telah mula cuba untuk memujuk diri supaya belajar MENERIMA dahulu hakikat yang telah terjadi. Ambil masa, guna masa. Kerana akan sampai masa dan ketikanya, hati saya akan bersedia untuk membalut semula luka yang tercedera. Dan saya tahu Tuhan ada sudi membantu di saat-saat kita buntu.

Monday, 27 August 2012

Perkara ajaib

Salah satu keajaiban prosa dunia yang paling saya kagum ialah bila Tuhan mengilhamkan idea hebat kepada insan-insan yang Dia pilih. Subhanallah, saya kagum benar dengan mereka2 yang boleh menghasilkan sesuatu yang unik, out of the cage. Terutama dari segi arts, tak kira lah samada tulisan, lukisan, binaan, apa sahaja yang mereka ukir, lukis, tulis itu seolah-olah telus sampai kepada yang melihat (membaca). Setiap kali saya in complete awe dengan hasil karya mereka, saya seperti dapat merasakan yang Tuhan sedang ‘show off’ kehebatan Nya :)

Impian #2

All this while saya cuma berminat dengan blogging, I mean betul2 menulis di blog (tumblr). Betul-betul menyampaikan gelumang abjad secara telus (gitu). Twitter dan facebook, masih lagi tidak menyediakan kerusi yang selesa untuk saya menulis di situ. Tersekat-sekat kedua nya.

Dan satu medium yang sedang menjadi perhatian anak belia sekarang untuk berkongsi pendapat ialah vlogging. All this while saya cuma tonton karya mereka yang berbentuk visual-verbal begitu, dan tidak langsung pernah terlintas untuk menggunakan medium tersebut. Terlalu sangat bukan saya untuk mempromosikan diri atau ‘mencapub’ (no offense). Untuk letak gambar di internet pun, saya fikir 10 ribu kali, inikan pula untuk tayang seluruh muka anggota. Apatah lagi saya sering mengalami masalah ‘tergelincir lidah’.

Tapi out of the blue saya tiba-tiba berhajat mahu cuba membuat vlog. Tapi bukan vlog pung pang pung pang depan kamera, lebih kepada cerita pendek, atau montaj (?). Saya mahu cuba ciptakan ruang visual-verbal yang tersendiri, yang boleh disalurkan segala gelumang abjad secara ringkas dan bermesej.

PS-Angan-angan sahaja ni, tapi dah masuk list impian. Entah bila dapat dilaksanakan. Moga-moga Allah perkenankan hajat saya satu masa nanti.

Sunday, 26 August 2012

Gelombang berterusan

Saya percaya walau bertahun-tahun kita ‘hilang’ dari hidup seseorang, kita takkan pernah benar ‘hilang’ dari hidup dia. Akan ada masa dan ketikanya secara random kita hadir dalam memori dia tak kira lah dari segi kata-kata, momen bersama, teman berteman, berkongsi cerita, susah tangis, apa sahaja perkara-perkara kecil yang pernah kita lakukan bersama. Walau mungkin nampak kecil bagi kita, tapi besar rahmat bagi orang lain. Tambah-tambah jika kita menyumbang kesan mendalam dalam hidup mereka.

The goodbyes

Mungkin ramai yang kecewa setiap kali seseorang penting dalam hidup dia berlalu pergi begitu sahaja tanpa berkata apa. Ini isu terhangat kalau berkait dengan relationship. Bagi kita, kalau musuh (haters) sekurang-kurangnya dia membuat kita rasa wujud tapi kalau diam dari insan yang pernah mengukir jalan2 bahagia bersama? Hati remuk, Tuhan sahaja yang tahu.

Tapi tak ramai yang tahu akan hakikat sebenar mereka mengambil keputusan untuk berlalu begitu sahaja. Adakala orang yang membuat kita terseksa, sebenarnya lebih terseksa dari apa yang kita rasa. Kerana itu, mereka mungkin tiada penjelasan yang sesuai untuk diutarakan. Ataupun mereka terlalu takut dengan respons jika penjelasan itu diutarakan.

Thursday, 23 August 2012

Skrip cinta

Saya hairan juga dengan sesetengah kaum hawa yang ber-ia mahu garapan cerita cinta mereka indah indah lovey dovey islamik gitu. Ya, tidak salah. Tapi kita bukan hidup dalam dunia cinderella yang dipenjara ibu tiri lalu datang prince charming mahu mengahwini. Dan kita semua bukan bernama Irma Hasmie yang dipilih Tuhan untuk berhijrah lalu datang prince charming mahu mengahwini. Kita, masing-masing hidup dalam dunia sendiri yang dipenjara oleh diri sendiri dan kuncinya itu terletak pada tangan sendiri!

 Apa salahnya bertemu cinta di depan kedai kopi disaksikan para strangers? Apa salahnya bertemu cinta di shopping complex bertemankan rakan-rakan? Apa salahnya bertemu cinta di halaman rumah diperhatikan ibu bapa? Apa salahnya bertemu cinta balik skrin monitor sahaja? Kita akan ada jalan cerita masing-masing yang mungkin sama, atau berbeza plotnya. Dan jalan cerita itu tidak perlu romantis di mata manusia, yang penting ending nya terukir ‘romantis’ di dalam kitab malaikat pencatat relung usia.

Saya tidak salahkan mereka 100 peratus kerana dunia cyber sekarang terlalu advance ke depan. Dengan satu klik sahaja, kita boleh berkongsi cerita-cerita indah yang boleh ditatap oleh mereka2 di serata dunia. Tidak juga saya salahkan yang berkongsi cerita ini. Kerana sifatnya orang perempuan gemar berkongsi benda-benda manis. Mungkin kita patut sama-sama salahkan drama / movies kot?

Komunikasi sehala

Kadang-kadang, bukan kami sengaja memilih untuk tidak bersuara. Saya terutamanya mempunyai sistem pemprosesan otak yang sedikit perlahan. Di mana, orang lain mempunyai salur idea yang lurus dan segala idea tersebut boleh dikeluarkan tanpa sekatan, manakala salur idea saya adalah melalui salur yang bukan sahaja bersimpang siur malah berlapis-lapis, silap haribulan bertembung jalan mati terus!

Saya mengambil masa untuk generate idea supaya dapat kekalkan aturan social convention. Sampai di ketika nya saya akan merasa penat, kerana cuba memaksa diri. Bila saya penat dan tidak selesa dengan seseorang, saya akan terus diam berpanjangan. Tapi kalau salah satu syarat dipenuhi seperti saya selesa dengan kehadirannya, saya akan cuba kekalkan perhubungan yang harmoni (gituuu). Ada tapi nya lagi, untuk mencapai level ‘SELESA’ itu masya Allah seumur hidup pun tidak cukup!

PS-Saya jarang rasa selesa bila di sekeliling manusia. Saya cuma rasa selesa dengan diri sendiri dan kucing. So, probabilities untuk berlakunya awkward situations adalah sangat tinggi.

Bila bersedih

Bila saya upset / kecewa / bersedih ada dua perkara paling ketara yang saya akan lakukan iaitu
  • makan (dengan terlebih had) 
  • dan bercakap dengan kucing 

Saya akan makan dengan terlalu banyak dari kebiasaan. Berterusan selama satu jam (atau lebih) pula tu. Macam-macam saya akan sumbat dalam mulut. Saya imagine mulut saya seperti tong sampah yang gunanya untuk disumbatkan pelbagai bentuk pepejal / cecair. Sampai kadang2 saya terdengar perut saya melutut pada satu kaki sambil merayu supaya saya berhenti menyalurkan apa-apa pepejal / cecair melalui esofagus. Kesian perut saya kan, sampai kena melutut.

Bercakap dengan kucing pula (kebiasaannya selepas saya menyantap tak ingat dunia seperti gergasi dalam cerita dongeng Jack & the beanstalk), saya cuma bertegur sapa sahaja dengan mereka. Tanya khabar, puji-puji kecomelan mereka, usap-usap hidung-telinga mereka, jalan-jalan bersama, that’s it lah. Saya tak bercerita tentang apa-apa masalah pada mereka, bukan kerana mereka tidak faham, tapi kerana saya tidak mahu mereka risau.

Wednesday, 22 August 2012

Antara dua

Bila anda menulis (menaip) dengan banyaknya lemon perkataan di alam maya, ia adalah mencerminkan dua. Samada anda adalah
  • seorang yang over peramah di alam nyata, 
  • atau anda seorang yang over pendiam di alam nyata 

Saya semestinya terletak di point yang kedua. Bila saya tidak dapat mengeluarkan butir kata secara verbal, maka dari satu butir yang tidak dapat dilampiaskan itu akan membiak-biak secara drastik.

Dalam satu nanosecond, mungkin boleh membentuk satu kilometer perenggan. Depends. Depends pada keadaan nutrisi hati saya. Kalau neutral mungkin tidak lah mencecah satu kilometer, tapi kalau tak neutral … faham-faham sendiri lah. Saya sendiri tak dapat kawal kepanjangan perenggan tersebut.

Takdir yang memesongkan

Saya boleh senaraikan 10 ribu sebab kenapa saya berkeras dengan pendirian yang masih sama, dan tidak pernah terpalit pun untuk mengubah bucu kompas utama. Tapi siapa yang mahu dengar? Siapa yang mahu tadah telinga untuk kesepuluh ribu sebab itu? Dan jika mereka ‘mahu’ mendengar sekalipun, saya yakin dan percaya mereka akan sangkal dan pangkas dengan sepuluh juta alasan pula.

Seperti yang saya nyatakan pada entri yang lepas, jika ditakdirkan saya mati hidup semula, saya tidak akan pilih apa yang saya ada sekarang. Tapi takdir telah memesongkan keinginan saya. Dan saya tahu takdir ini punya ‘muslihat’ yang tersembunyi.

Wishlist #2

Saya tidak berharap banyak dari dia yang bakal menyusur hidup bersama kelak. Cuma satu sahaja. Saya harap dia akan terus kekal faham yang saya ini tidak berfikiran serenjang dengan mereka2 sebaya hatta seluruh keturunan kaum hawa. Keperluan jiwa saya adalah jauh tersasar dari garis normal.

Ya. Itu sahaja yang saya mahu dari dia.

Tuesday, 21 August 2012

Bukan peminat gajet

Nafsu saya tidak mudah rapuh dengan percambahan teknologi. Kalau ada, ada lah. Kalau tak ada pun tidak mengapa, saya masih boleh bernafas. Cuma nya dahulu (mungkin masih lagi sekarang, tapi dalam kuantiti yang terkawal), saya mudah terpaut pada digital camera. Bukan DSLR, hanya digital camera yang sebesar tapak tangan sahaja (saya tidak rajin nak mengusung DSLR itu).

Pertama kali saya beli kamera, pada tahun 2007 kalau tak silap. Kamera sony yang menggunakan bateri energizer. Sangat gila bergambar waktu itu. Habis semua benda saya snap. Tapi minat mengambil gambar sekadar suka2 itu tak bertahan lama. Dalam setahun dua, minat itu mula luntur. Sehingga lah saya beli kamera baru pada tahun 2010, kamera pink yang digabungkan dengan mp3. Sekali lagi saya gila bergambar. Semua benda saya snap. Tapi mengikut pattern yang lepas, minat itu luntur juga selepas setahun dua. Sehingga lah sekarang, saya tidak lagi membawa kamera ke sana ke mari.

PS-Pagi hari raya pun tidak bergambar mana. Cuma adik yang ber-ia mengambil gambar seiisi keluarga.
 PPS-Ada juga sesekali terdetik mahu rakam memori2 kecil yang mungkin tidak penting, tapi akan diingati sampai bila2. Cuma kena tanya diri dulu lah, rajin ke tidak =P

Monday, 20 August 2012

Di persinggahan

Saya melihat ada keluarga yang bertukar tempat duduk 3 kali di setiap selang masa 5 minit, saya melihat ada rimbun daun hijau penuh dalam satu kawasan kecil semuat tubuh bayi, saya melihat pokok rendang menaungi beberapa peluk tanah di bawahnya, saya melihat ‘musim luruh’ di sesetengah tanah berdekatan, saya melihat mozek putih gah menyelaputi satu ‘kubu’ persis ia golongan diraja, saya melihat batu putih kecil yang diratakan menutupi 7 kaki panjang 3 kaki lebar juga disertakan bakul berbunga merah di atasnya, saya melihat dua wanita berbaju kebaya (tersangat) kalis lengan berjalan keluar tanpa rasa ‘bersalah’, saya melihat duduk seorang anak remaja perempuan membaca yassin di sebelah tanah yang masih merah.

Sunday, 19 August 2012

Ucapan salam syawal

Saya pasti setiap kita akan menerima ucapan selamat hari raya / salam aidilfitri / salam syawal samada secara berpantun, ucapan ringkas melalui SMS, Facebook, Twitter, kad hari raya atau apa sahaja medium nya, saya masih merasakan ungkapan yang dilafaz secara berdepan sambil bersalam itu lebih terkesan di kalbu. Kuno much?

Saturday, 18 August 2012

Penghujung Ramadhan

Saya kira Ramadhan kali ini antara Ramadhan paling cepat berlalu. Sehingga saya rasa saya langsung tidak memanfaatkan bulan mulia ini dengan sebaiknya. Banyak penyesalan yang berbirat seperti Ramadhan kali lepas. Kononnya mahu berubah begitu begini, tapi bila sudah di akhir Ramadhan, begitu begini hilang entah ke mana.

Tapi harapannya, apa yang perlu diubah atau telah diubah berkekalan juga di bulan Syawal dan seterusnya sehingga berjumpa Ramadhan akan datang. Ramadhan sememangnya bulan untuk berlumba-lumba memungut token pahala, cumanya jangan pula token tersebut dibiar hilang satu-persatu bila tiba bulan berikutnya #notetoself. Insha Allah.

PS-Alhamdulillah, Allah gerakkan hati saya untuk menulis di sini pada bulan Ramdhan. Saya tidak mengharap sangat boleh kekal menulis di sini hingga ke Ramadhan yang berikutnya (dengan ajal yang tidak tahu menjemput bila dan dengan perangai saya yang ada sedikit cepat bosan). Tapi insha Allah, saya mahu menulis kebanyakan suara hati supaya sedikit sebanyak boleh mendidik hati yang mudah tenggelam ini.

Kun fayakun

Bila kita resah menanti jawapan, bila kita terlalu mengharap akan sebuah keajaiban adalah kerana kita terlalu ‘terbiasa’ dengan imaginasi-imaginasi yang kita reka cipta saban hari. Di mana imaginasi-imaginasi ini kita mengharapkan ia bertukar menjadi realiti. Dan kita terlupa (saya terutamanya), bukan di atas kuasa kita untuk membenarkan sesuatu keajaiban itu berlaku.

Sehari dua ini saya kerap dihantuk dengan pelbagai persoalan, pelbagai ragu-ragu. Sehingga saya memaksa diri untuk tidur supaya minda saya berhenti rehat seketika. Hakikatnya, bila terjaga, saya akan kembali ke dunia realiti dan berhadapan semula dengan peluru ragu-ragu yang menyesakkan dada. Sesekali saya cuba memujuk diri dengan ‘Jika Allah berkehendakkan sesuatu, Dia pasti akan menggerakkan hati kita. Dan jika tidak, pasti ada halangan di sempadan’. Moga hati saya lebih tenang dengan izin Nya.

PS-Saya tidak menunggu bulan jatuh atas riba. Saya pasrah dengan sebetul pasrah kalau bukan ‘bulan ini’ yang mahu jatuh, mungkin Allah mahu saya memiliki bintang di telapak tangan.

Friday, 17 August 2012

Tetap sama

Semenjak saya melepasi fasa ‘heartless’, perjalanan darah dalam tubuh saya mula bergerak pantas. Saya merasai setiap partikel sel darah tersebut sedang berlumba-lumba dan berlanggar-langgar antara satu sama lain. Terlalu bising bunyi nya. Sehingga saya tidak mampu mengawal ia, dan hanya membiarkan sahaja.

Saya tidak tahu dan tidak pasti kenapa saya masih memilih matlamat yang sama. Seakan-akan saya tidak serik untuk terus membiarkan tubuh, mental, jiwa menanggung akibat. Sakit, ya saya tahu. Perit, ya saya teramat tahu. Tapi masih juga tidak terdetik untuk saya menukar haluan dan memilih matlamat yang ‘sepatutnya’ mententeramkan setiap partikel sel darah. Mengerling pun tidak. Sesungguhnya Tuhan itu benar Maha membolak balik.

Yang tersembunyi

Adakala saya tersenyum sinis dalam hati mengenangkan mereka2 yang membanding-bandingkan masalah mereka seolah-olah masalah mereka lah yang paling kejam menimpa. Seolah-olah mereka lah paling malang, paling layak dikasihani tanpa mereka sedar bahawa setiap inci perbandingan yang dilakukan itu terhadap seseorang yang kelihatan ‘sempurna’ luarannya tapi banyak retak belah pecah yang tersembunyi. Yang ‘sempurna’ itu sahaja lah yang ketara di kanta mata mereka. Yang ‘sempurna’ sahaja. S.A.H.A.J.A.

Tuesday, 14 August 2012

Anak kucing saya

Semenjak hampir 3 tahun yang lepas saya berhidup dalam dunia kekucing, ini pertama kali saya melihat depan mata anak kucing saya mati terbujur kaku (sebelum2 ini kebanyakan kucing hanya hilang tanpa jejak). Mulanya saya redha dan pasrah dengan ketentuan Nya, kerana saya sangat sangat kasihan dengan anak kucing hitam itu yang tidak dapat bergerak banyak kerana perut buncit (sudah 3 kali memberi makan ubat cacing, tapi masih juga tiada perubahan). Tapi selepas beberapa minit, saya menangis juga =’(

Beberapa hari yang lepas, saya perasan dia banyak diam, tak bergerak, tak makan. Rupanya penderitaan nya ‘mahu’ segera tamat. Tapi dia mati bukan kerana sakit, tapi kerana terjatuh atas besi (mungkin akibat tidak dapat melompat dengan baik =( ). Saya rasa bersalah pula tidak dapat menjaga dia dengan baik.

Impian #1

Saya mempunyai banyak impian. Kalau dikumpul-kumpulkan pasti mengambil masa beribu tahun untuk melunaskan semuanya. Tapi saya baru tersedar akan impian utama dan pertama yang selama ini menjalar dalam diri saya tanpa disedari. Iaitu KEBEBASAN untuk memilih.

Memilih jalan yang saya mahu lalui. Jalan yang walaupun penuh semak samun, hutan belantara, diselang pula dengan lautan api (cliche betul), saya hargai setiap satu yang mendatang, malah saya menghayati setiap hukum alam yang terbentang. Berbanding jalan yang penuh dengan fun fair, taman permainan, kompleks membeli belah, tetapi saya tidak mampu tersenyum sepanjang meneroka tempat-tempat tersebut. Salahkah saya mempunyai impian begini?

Syarat pertama cinta

Satu soalan yang kerap berlegar dalam kepala saya ‘bagaimana kita tahu itu cinta?’. Dan saya tidak maksudkan cinta pada pasangan sahaja, cinta pada ibu bapa, cinta pada rakan-rakan, cinta pada haiwan, cinta pada apa-apa sahaja makhluk Tuhan. Bagaimana kita tahu itu cinta? Lama saya cari jawapan. Hingga baru-baru ini, saya jumpa telahan yang saya rasa jawapan pertama untuk soalan tersebut.

Bagaimana kita tahu itu cinta? Bila kita BOLEH menerima seseorang dengan seadanya, buruk buruk buruk, lemah lemah lemah, hodoh hodoh hodoh dia, kita telan semuanya. Ya, telan. Bukan luah, sebar pada orang. Kita telan. Semuanya.

Seperti baja yang kelihatan buruk tapi bila diserap tanah, bunga membentuk kelopak2 nya.

Di sebalik tabir

Saya tidak pasti anda perasan atau tidak, tapi saya sedang melihat akan ‘nature’ anak-anak muda yang semakin dekat dengan agama, yang lantang berbicara, yang tidak putus-putus menyampai dakwah (ini sangat ketara di dunia maya) tapi saya juga melihat akan ‘nature’ semakin ramai anak muda yang terjatuh dalam lembah yang salah, makin bertambah lahirnya anak2 tidak berdosa yang dibuang merata, makin meruncing masalah sosial anak2 remaja. Apakah tidak sampai dakwah yang disampaikan oleh anak-anak muda yang lebih kurang sebaya dengan mereka? Yang sebaya adalah yang lebih dekat dengan kita. Apa-apa yang disampaikan, kita mudah menerima berbanding suara dari yang lebih tua atau lebih muda. Kerana itu, saya hairan. Apakah tidak sampai?
 
PS-Saya adakala cemburu dengan anak-anak muda yang penuh dengan ilmu agama dan elok susun atur kata menyampai dakwah. Tentu mereka2 ini juga fasih menyampaikan dakwah secara lisan, terutama pada yang dekat silaturrahim dengan mereka. Beruntung kan yang di keliling mereka.

Monday, 13 August 2012

Wishlist #1

Saya berharap suatu hari nanti akan diwujudkan satu kursus (untuk setiap level bermula dengan matrikulasi / diploma, degree, master juga PhD) berkenaan kucing. Semua tentang kucing.

Setiap semester akan belajar different kind of subjects. Ada subjek tentang nutrisi makanan kucing, tentang penjagaan baby kucing, tentang jenis-jenis kucing, subjek untuk memahami reaksi2 kucing, tentang bagaimana merawat kucing2 yang sakit, semua aspek lah senang cerita. Kira kalau rangkumkan semua boleh sampai ke level buat thesis untuk PhD.

Saya yang tak berhasrat menyambung PhD, memang dengan sepantas kilat akan mendaftar kursus kucing tersebut.

Bina memori

Satu perkara yang saya agak terkilan dengan susur galur hidup saya yang sebelum ini ialah (otak) saya tidak merekod dengan sempurna rangkap sifir memoir indah. Tidak pasti ada atau langsung tiada. Jika ada sekalipun, ia memintas semula tanpa terukir senyum di bibir, gelojak gembira di hati, ia hanya memintas begitu sepintas lalu.

Pada yang sedang membaca ini, bina lah memori. Bina lah dari sekecil-kecil batu di atas jalan, atau lampu-lampu jalan yang memayungi, juga bangunan-bangunan ada menemani. Supaya ia membentuk satu permainan lego yang lengkap sifatnya. Bila telah lengkap, jangan sesekali hancur ranapkan ia dengan tangan kalian sendiri. Jaga dan simpan di tempat yang selamat.

Pergi lah. Pergi lakukan apa yang anda minati, ingini. Berkayak? Bersukan? Mendaki gunung? Explorace? Merantau? Menanam bunga? Melukis? Bermain gitar? Merekacipta barang? Memasak? Membuat kek? Buat lah! Teruskan lah! Jangan tangguh! Cuma, pastikan bukan hanya jasad anda sahaja yang sedang bergerak menuruti kehendak diri. Jiwa anda PERLU turut hadir sama.

Friday, 10 August 2012

Terima kasih :')

Sebelum menonton video ini saya tidak menangis dalam jangka bulan yang agak lama (bagi seorang perempuan). Pernah, saya terpaksa paksa diri untuk menangis supaya sekali sekala boleh selamatkan hati saya yang kerap ‘tersumbat’.

 Terima kasih Fizi, Ahmad kerana membuatkan hati saya bernafas kembali.

Wednesday, 8 August 2012

Mula baru

Bismillahirahmanirrahim

Adakala saya diasak dengan keinginan untuk menulis rentak hidup harian. Tapi sering tergendala kerana rasa kekok dan tidak perlu. Semenjak bertambah angka pada usia, saya mula mengawal ketat sebarang kata-kata yang dipapar pada skrin. Agar kelak saya tidak kesal.

Tapi kali ini saya nekad. Nekad untuk menambah sedikit irama. Walau tidak membentuk lagu yang sempurna, saya mahu cuba membetulkan bait-bait nya. Agar lebih tenteram. Moga Allah bantu.