Thursday, 30 August 2012

Intro vs extro

Sebelum ini, saya ada berharap percent extroverts saya lebih banyak dari introverts. Supaya saya boleh sampaikan apa yang berlegar di fikiran direct terus kepada yang ada di sekeliling. Tapi sekarang, saya sangat bersyukur kerana Tuhan kawal kuantiti extro saya supaya tidak melebihi kuota introverts saya yang pada asalnya. Mungkin Dia bimbang kalau2 saya sering tergelincir kata yang boleh menghancurkan hati-hati. Nauzubillah. Memang betul lah perumpamaan, lidah itu lebih menghunus dari bilah pedang.

Tafsir diri

Saya pernah melalui zaman yang terbawa-bawa oleh arus permodenan atau spesifikasinya terikut-ikut dengan fesyen terkini. Mungkin faktor sekeliling, atau mungkin faktor jati diri saya yang tidak kuat. Tidak, saya tidak memaksudkan yang mengikut arus fesyen itu tiada jati diri. Cuma saya merasakan saya berfesyen hanya kerana mahu mengangkat bakul self-esteem. Dulu saya rasa good-good bila orang pandang-pandang (oh well, girls will always be girls). Tapi lama-lama saya rasa sangat fake dan bertopeng lapan belas lapis. Dan makin lama, makin saya rimas dipandang!

Ye, saya tahu penampilan is another thing. Tapi, asalkan kemas dan bersih should be okay lah kan. Dan saya tak rasa dengan memakai make up tebal-tebal hari-hari boleh menyelamatkan muka saya dari dimakan ulat suatu hari nanti.

Persoalannya, kenapa saya perlu menjadi diri yang ditafsir masyarakat sedangkan saya boleh cuba menjadi diri yang ditafsir oleh Tuhan?

Impian #3

Saya sering tertanya-tanya, apakah kucing merasa sunyi bila berhidup seekor diri? Tidur di tempat asing, keseorangan. Meguis makanan, keseorangan. Berjalan-jalan juga keseorangan. Kerana saya seperti terdengar derap bunyi sepi (?) setiap kali melihat mereka di tepi-tepi jalan, celah-celah sampah, bawah-bawah kerusi.

Insha Allah, kalau saya punya rezeki wang dan masa yang lebih di masa akan datang, saya mahu membuka Pusat Penjagaan Kucing atau Agensi Menjaga Kucing (hehe comel pula bunyinya). Sekurang-kurangnya kucing yang keseorangan akan ada kawan, tempat berteduh serta makanan yang bersih.

Wednesday, 29 August 2012

25

Di ambang usia 25, saya telah merasai pelbagai jenis perisa perasaan yang bercampur baur. Telah melalui pelbagai bentuk serangan perasaan yang bertalu-talu. Bahkan telah melalui fasa tidak berperasaan langsung.

Tidak banyak yang saya mahu pinta bila sudah dewasa begini (err dewasa?). Saya cuma harap beberapa impian dan wishlists dapat dilaksanakan segera mungkin. Supaya saya tak kesal di kemudian hari tua.

Kerana saya percaya yang urat-urat kesal akan sesuatu yang tidak dapat ditunaikan lebih banyak berselirat berbanding urat-urat kesal terhadap apa yang pernah kita lakukan.

Masa emas

Ya, masa itu lombong emas. Kalau tidak ‘digali’, ia akan terbiar begitu sahaja. Dan masa yang terpaling emas ialah ketika kita sedang beredar zaman remaja ke zaman dewasa. Saya percaya di usia 18-24, ialah masa yang sangat kritikal dalam pembentukan peribadi, personaliti dan karektor. Kebanyakan karektor yang kita bentuk di rangka usia ini, kita akan drag hingga ke usia dewasa. Seolah-olah kita sedang membina istana pasir di tepian pantai.

Bermula dengan beberapa tingkat utama, sehingga ke mercu bendera, ada juga kubu pertahanan di sekeliling, termasuk tembok-tembok yang memagari, semuanya mempunyai aspek-aspek tertentu demi memastikan istana kelihatan gah dan selamat. Kalau sehebat mana pun istana pasir yang dibina, tapi ia dibina sangat berhampiran dengan pesisir pantai (tidak kena tempat), pasti akan musnah jua dibilas ombak kecil. Timing pun sama, kalau bina waktu air pasang pun akan hancur juga kubu-kubu tersebut.

Ini yang saya maksudkan dengan masa emas yang saya sendiri bina dengan sambil lewa. Ia tidak musnah, kerana saya bina di tempat yang terpencil. Tapi istana pasir saya tidak lengkap struktur bangunan nya, banyak lompang sana sini. Ketika saya tersedar yang istana pasir saya kelihatan jauh berbeza dari mereka yang lain, saya telah pun melepasi usia ‘emas’ tersebut…

PS-Sangat-sangat beruntung mereka2 yang dikurniakan hadiah matang seawal usia remaja.

Tuesday, 28 August 2012

Belajar menerima

Kerana saya terlalu cuba mengawal hati sendiri, saya mula mencederakan banyak hati yang lain. Tapi saya telah mula cuba untuk memujuk diri supaya belajar MENERIMA dahulu hakikat yang telah terjadi. Ambil masa, guna masa. Kerana akan sampai masa dan ketikanya, hati saya akan bersedia untuk membalut semula luka yang tercedera. Dan saya tahu Tuhan ada sudi membantu di saat-saat kita buntu.

Monday, 27 August 2012

Perkara ajaib

Salah satu keajaiban prosa dunia yang paling saya kagum ialah bila Tuhan mengilhamkan idea hebat kepada insan-insan yang Dia pilih. Subhanallah, saya kagum benar dengan mereka2 yang boleh menghasilkan sesuatu yang unik, out of the cage. Terutama dari segi arts, tak kira lah samada tulisan, lukisan, binaan, apa sahaja yang mereka ukir, lukis, tulis itu seolah-olah telus sampai kepada yang melihat (membaca). Setiap kali saya in complete awe dengan hasil karya mereka, saya seperti dapat merasakan yang Tuhan sedang ‘show off’ kehebatan Nya :)

Impian #2

All this while saya cuma berminat dengan blogging, I mean betul2 menulis di blog (tumblr). Betul-betul menyampaikan gelumang abjad secara telus (gitu). Twitter dan facebook, masih lagi tidak menyediakan kerusi yang selesa untuk saya menulis di situ. Tersekat-sekat kedua nya.

Dan satu medium yang sedang menjadi perhatian anak belia sekarang untuk berkongsi pendapat ialah vlogging. All this while saya cuma tonton karya mereka yang berbentuk visual-verbal begitu, dan tidak langsung pernah terlintas untuk menggunakan medium tersebut. Terlalu sangat bukan saya untuk mempromosikan diri atau ‘mencapub’ (no offense). Untuk letak gambar di internet pun, saya fikir 10 ribu kali, inikan pula untuk tayang seluruh muka anggota. Apatah lagi saya sering mengalami masalah ‘tergelincir lidah’.

Tapi out of the blue saya tiba-tiba berhajat mahu cuba membuat vlog. Tapi bukan vlog pung pang pung pang depan kamera, lebih kepada cerita pendek, atau montaj (?). Saya mahu cuba ciptakan ruang visual-verbal yang tersendiri, yang boleh disalurkan segala gelumang abjad secara ringkas dan bermesej.

PS-Angan-angan sahaja ni, tapi dah masuk list impian. Entah bila dapat dilaksanakan. Moga-moga Allah perkenankan hajat saya satu masa nanti.

Sunday, 26 August 2012

Gelombang berterusan

Saya percaya walau bertahun-tahun kita ‘hilang’ dari hidup seseorang, kita takkan pernah benar ‘hilang’ dari hidup dia. Akan ada masa dan ketikanya secara random kita hadir dalam memori dia tak kira lah dari segi kata-kata, momen bersama, teman berteman, berkongsi cerita, susah tangis, apa sahaja perkara-perkara kecil yang pernah kita lakukan bersama. Walau mungkin nampak kecil bagi kita, tapi besar rahmat bagi orang lain. Tambah-tambah jika kita menyumbang kesan mendalam dalam hidup mereka.

The goodbyes

Mungkin ramai yang kecewa setiap kali seseorang penting dalam hidup dia berlalu pergi begitu sahaja tanpa berkata apa. Ini isu terhangat kalau berkait dengan relationship. Bagi kita, kalau musuh (haters) sekurang-kurangnya dia membuat kita rasa wujud tapi kalau diam dari insan yang pernah mengukir jalan2 bahagia bersama? Hati remuk, Tuhan sahaja yang tahu.

Tapi tak ramai yang tahu akan hakikat sebenar mereka mengambil keputusan untuk berlalu begitu sahaja. Adakala orang yang membuat kita terseksa, sebenarnya lebih terseksa dari apa yang kita rasa. Kerana itu, mereka mungkin tiada penjelasan yang sesuai untuk diutarakan. Ataupun mereka terlalu takut dengan respons jika penjelasan itu diutarakan.

Thursday, 23 August 2012

Skrip cinta

Saya hairan juga dengan sesetengah kaum hawa yang ber-ia mahu garapan cerita cinta mereka indah indah lovey dovey islamik gitu. Ya, tidak salah. Tapi kita bukan hidup dalam dunia cinderella yang dipenjara ibu tiri lalu datang prince charming mahu mengahwini. Dan kita semua bukan bernama Irma Hasmie yang dipilih Tuhan untuk berhijrah lalu datang prince charming mahu mengahwini. Kita, masing-masing hidup dalam dunia sendiri yang dipenjara oleh diri sendiri dan kuncinya itu terletak pada tangan sendiri!

 Apa salahnya bertemu cinta di depan kedai kopi disaksikan para strangers? Apa salahnya bertemu cinta di shopping complex bertemankan rakan-rakan? Apa salahnya bertemu cinta di halaman rumah diperhatikan ibu bapa? Apa salahnya bertemu cinta balik skrin monitor sahaja? Kita akan ada jalan cerita masing-masing yang mungkin sama, atau berbeza plotnya. Dan jalan cerita itu tidak perlu romantis di mata manusia, yang penting ending nya terukir ‘romantis’ di dalam kitab malaikat pencatat relung usia.

Saya tidak salahkan mereka 100 peratus kerana dunia cyber sekarang terlalu advance ke depan. Dengan satu klik sahaja, kita boleh berkongsi cerita-cerita indah yang boleh ditatap oleh mereka2 di serata dunia. Tidak juga saya salahkan yang berkongsi cerita ini. Kerana sifatnya orang perempuan gemar berkongsi benda-benda manis. Mungkin kita patut sama-sama salahkan drama / movies kot?

Komunikasi sehala

Kadang-kadang, bukan kami sengaja memilih untuk tidak bersuara. Saya terutamanya mempunyai sistem pemprosesan otak yang sedikit perlahan. Di mana, orang lain mempunyai salur idea yang lurus dan segala idea tersebut boleh dikeluarkan tanpa sekatan, manakala salur idea saya adalah melalui salur yang bukan sahaja bersimpang siur malah berlapis-lapis, silap haribulan bertembung jalan mati terus!

Saya mengambil masa untuk generate idea supaya dapat kekalkan aturan social convention. Sampai di ketika nya saya akan merasa penat, kerana cuba memaksa diri. Bila saya penat dan tidak selesa dengan seseorang, saya akan terus diam berpanjangan. Tapi kalau salah satu syarat dipenuhi seperti saya selesa dengan kehadirannya, saya akan cuba kekalkan perhubungan yang harmoni (gituuu). Ada tapi nya lagi, untuk mencapai level ‘SELESA’ itu masya Allah seumur hidup pun tidak cukup!

PS-Saya jarang rasa selesa bila di sekeliling manusia. Saya cuma rasa selesa dengan diri sendiri dan kucing. So, probabilities untuk berlakunya awkward situations adalah sangat tinggi.

Bila bersedih

Bila saya upset / kecewa / bersedih ada dua perkara paling ketara yang saya akan lakukan iaitu
  • makan (dengan terlebih had) 
  • dan bercakap dengan kucing 

Saya akan makan dengan terlalu banyak dari kebiasaan. Berterusan selama satu jam (atau lebih) pula tu. Macam-macam saya akan sumbat dalam mulut. Saya imagine mulut saya seperti tong sampah yang gunanya untuk disumbatkan pelbagai bentuk pepejal / cecair. Sampai kadang2 saya terdengar perut saya melutut pada satu kaki sambil merayu supaya saya berhenti menyalurkan apa-apa pepejal / cecair melalui esofagus. Kesian perut saya kan, sampai kena melutut.

Bercakap dengan kucing pula (kebiasaannya selepas saya menyantap tak ingat dunia seperti gergasi dalam cerita dongeng Jack & the beanstalk), saya cuma bertegur sapa sahaja dengan mereka. Tanya khabar, puji-puji kecomelan mereka, usap-usap hidung-telinga mereka, jalan-jalan bersama, that’s it lah. Saya tak bercerita tentang apa-apa masalah pada mereka, bukan kerana mereka tidak faham, tapi kerana saya tidak mahu mereka risau.

Wednesday, 22 August 2012

Antara dua

Bila anda menulis (menaip) dengan banyaknya lemon perkataan di alam maya, ia adalah mencerminkan dua. Samada anda adalah
  • seorang yang over peramah di alam nyata, 
  • atau anda seorang yang over pendiam di alam nyata 

Saya semestinya terletak di point yang kedua. Bila saya tidak dapat mengeluarkan butir kata secara verbal, maka dari satu butir yang tidak dapat dilampiaskan itu akan membiak-biak secara drastik.

Dalam satu nanosecond, mungkin boleh membentuk satu kilometer perenggan. Depends. Depends pada keadaan nutrisi hati saya. Kalau neutral mungkin tidak lah mencecah satu kilometer, tapi kalau tak neutral … faham-faham sendiri lah. Saya sendiri tak dapat kawal kepanjangan perenggan tersebut.

Takdir yang memesongkan

Saya boleh senaraikan 10 ribu sebab kenapa saya berkeras dengan pendirian yang masih sama, dan tidak pernah terpalit pun untuk mengubah bucu kompas utama. Tapi siapa yang mahu dengar? Siapa yang mahu tadah telinga untuk kesepuluh ribu sebab itu? Dan jika mereka ‘mahu’ mendengar sekalipun, saya yakin dan percaya mereka akan sangkal dan pangkas dengan sepuluh juta alasan pula.

Seperti yang saya nyatakan pada entri yang lepas, jika ditakdirkan saya mati hidup semula, saya tidak akan pilih apa yang saya ada sekarang. Tapi takdir telah memesongkan keinginan saya. Dan saya tahu takdir ini punya ‘muslihat’ yang tersembunyi.

Wishlist #2

Saya tidak berharap banyak dari dia yang bakal menyusur hidup bersama kelak. Cuma satu sahaja. Saya harap dia akan terus kekal faham yang saya ini tidak berfikiran serenjang dengan mereka2 sebaya hatta seluruh keturunan kaum hawa. Keperluan jiwa saya adalah jauh tersasar dari garis normal.

Ya. Itu sahaja yang saya mahu dari dia.

Tuesday, 21 August 2012

Bukan peminat gajet

Nafsu saya tidak mudah rapuh dengan percambahan teknologi. Kalau ada, ada lah. Kalau tak ada pun tidak mengapa, saya masih boleh bernafas. Cuma nya dahulu (mungkin masih lagi sekarang, tapi dalam kuantiti yang terkawal), saya mudah terpaut pada digital camera. Bukan DSLR, hanya digital camera yang sebesar tapak tangan sahaja (saya tidak rajin nak mengusung DSLR itu).

Pertama kali saya beli kamera, pada tahun 2007 kalau tak silap. Kamera sony yang menggunakan bateri energizer. Sangat gila bergambar waktu itu. Habis semua benda saya snap. Tapi minat mengambil gambar sekadar suka2 itu tak bertahan lama. Dalam setahun dua, minat itu mula luntur. Sehingga lah saya beli kamera baru pada tahun 2010, kamera pink yang digabungkan dengan mp3. Sekali lagi saya gila bergambar. Semua benda saya snap. Tapi mengikut pattern yang lepas, minat itu luntur juga selepas setahun dua. Sehingga lah sekarang, saya tidak lagi membawa kamera ke sana ke mari.

PS-Pagi hari raya pun tidak bergambar mana. Cuma adik yang ber-ia mengambil gambar seiisi keluarga.
 PPS-Ada juga sesekali terdetik mahu rakam memori2 kecil yang mungkin tidak penting, tapi akan diingati sampai bila2. Cuma kena tanya diri dulu lah, rajin ke tidak =P

Monday, 20 August 2012

Di persinggahan

Saya melihat ada keluarga yang bertukar tempat duduk 3 kali di setiap selang masa 5 minit, saya melihat ada rimbun daun hijau penuh dalam satu kawasan kecil semuat tubuh bayi, saya melihat pokok rendang menaungi beberapa peluk tanah di bawahnya, saya melihat ‘musim luruh’ di sesetengah tanah berdekatan, saya melihat mozek putih gah menyelaputi satu ‘kubu’ persis ia golongan diraja, saya melihat batu putih kecil yang diratakan menutupi 7 kaki panjang 3 kaki lebar juga disertakan bakul berbunga merah di atasnya, saya melihat dua wanita berbaju kebaya (tersangat) kalis lengan berjalan keluar tanpa rasa ‘bersalah’, saya melihat duduk seorang anak remaja perempuan membaca yassin di sebelah tanah yang masih merah.

Sunday, 19 August 2012

Ucapan salam syawal

Saya pasti setiap kita akan menerima ucapan selamat hari raya / salam aidilfitri / salam syawal samada secara berpantun, ucapan ringkas melalui SMS, Facebook, Twitter, kad hari raya atau apa sahaja medium nya, saya masih merasakan ungkapan yang dilafaz secara berdepan sambil bersalam itu lebih terkesan di kalbu. Kuno much?

Saturday, 18 August 2012

Penghujung Ramadhan

Saya kira Ramadhan kali ini antara Ramadhan paling cepat berlalu. Sehingga saya rasa saya langsung tidak memanfaatkan bulan mulia ini dengan sebaiknya. Banyak penyesalan yang berbirat seperti Ramadhan kali lepas. Kononnya mahu berubah begitu begini, tapi bila sudah di akhir Ramadhan, begitu begini hilang entah ke mana.

Tapi harapannya, apa yang perlu diubah atau telah diubah berkekalan juga di bulan Syawal dan seterusnya sehingga berjumpa Ramadhan akan datang. Ramadhan sememangnya bulan untuk berlumba-lumba memungut token pahala, cumanya jangan pula token tersebut dibiar hilang satu-persatu bila tiba bulan berikutnya #notetoself. Insha Allah.

PS-Alhamdulillah, Allah gerakkan hati saya untuk menulis di sini pada bulan Ramdhan. Saya tidak mengharap sangat boleh kekal menulis di sini hingga ke Ramadhan yang berikutnya (dengan ajal yang tidak tahu menjemput bila dan dengan perangai saya yang ada sedikit cepat bosan). Tapi insha Allah, saya mahu menulis kebanyakan suara hati supaya sedikit sebanyak boleh mendidik hati yang mudah tenggelam ini.

Kun fayakun

Bila kita resah menanti jawapan, bila kita terlalu mengharap akan sebuah keajaiban adalah kerana kita terlalu ‘terbiasa’ dengan imaginasi-imaginasi yang kita reka cipta saban hari. Di mana imaginasi-imaginasi ini kita mengharapkan ia bertukar menjadi realiti. Dan kita terlupa (saya terutamanya), bukan di atas kuasa kita untuk membenarkan sesuatu keajaiban itu berlaku.

Sehari dua ini saya kerap dihantuk dengan pelbagai persoalan, pelbagai ragu-ragu. Sehingga saya memaksa diri untuk tidur supaya minda saya berhenti rehat seketika. Hakikatnya, bila terjaga, saya akan kembali ke dunia realiti dan berhadapan semula dengan peluru ragu-ragu yang menyesakkan dada. Sesekali saya cuba memujuk diri dengan ‘Jika Allah berkehendakkan sesuatu, Dia pasti akan menggerakkan hati kita. Dan jika tidak, pasti ada halangan di sempadan’. Moga hati saya lebih tenang dengan izin Nya.

PS-Saya tidak menunggu bulan jatuh atas riba. Saya pasrah dengan sebetul pasrah kalau bukan ‘bulan ini’ yang mahu jatuh, mungkin Allah mahu saya memiliki bintang di telapak tangan.

Friday, 17 August 2012

Tetap sama

Semenjak saya melepasi fasa ‘heartless’, perjalanan darah dalam tubuh saya mula bergerak pantas. Saya merasai setiap partikel sel darah tersebut sedang berlumba-lumba dan berlanggar-langgar antara satu sama lain. Terlalu bising bunyi nya. Sehingga saya tidak mampu mengawal ia, dan hanya membiarkan sahaja.

Saya tidak tahu dan tidak pasti kenapa saya masih memilih matlamat yang sama. Seakan-akan saya tidak serik untuk terus membiarkan tubuh, mental, jiwa menanggung akibat. Sakit, ya saya tahu. Perit, ya saya teramat tahu. Tapi masih juga tidak terdetik untuk saya menukar haluan dan memilih matlamat yang ‘sepatutnya’ mententeramkan setiap partikel sel darah. Mengerling pun tidak. Sesungguhnya Tuhan itu benar Maha membolak balik.

Yang tersembunyi

Adakala saya tersenyum sinis dalam hati mengenangkan mereka2 yang membanding-bandingkan masalah mereka seolah-olah masalah mereka lah yang paling kejam menimpa. Seolah-olah mereka lah paling malang, paling layak dikasihani tanpa mereka sedar bahawa setiap inci perbandingan yang dilakukan itu terhadap seseorang yang kelihatan ‘sempurna’ luarannya tapi banyak retak belah pecah yang tersembunyi. Yang ‘sempurna’ itu sahaja lah yang ketara di kanta mata mereka. Yang ‘sempurna’ sahaja. S.A.H.A.J.A.

Tuesday, 14 August 2012

Anak kucing saya

Semenjak hampir 3 tahun yang lepas saya berhidup dalam dunia kekucing, ini pertama kali saya melihat depan mata anak kucing saya mati terbujur kaku (sebelum2 ini kebanyakan kucing hanya hilang tanpa jejak). Mulanya saya redha dan pasrah dengan ketentuan Nya, kerana saya sangat sangat kasihan dengan anak kucing hitam itu yang tidak dapat bergerak banyak kerana perut buncit (sudah 3 kali memberi makan ubat cacing, tapi masih juga tiada perubahan). Tapi selepas beberapa minit, saya menangis juga =’(

Beberapa hari yang lepas, saya perasan dia banyak diam, tak bergerak, tak makan. Rupanya penderitaan nya ‘mahu’ segera tamat. Tapi dia mati bukan kerana sakit, tapi kerana terjatuh atas besi (mungkin akibat tidak dapat melompat dengan baik =( ). Saya rasa bersalah pula tidak dapat menjaga dia dengan baik.

Impian #1

Saya mempunyai banyak impian. Kalau dikumpul-kumpulkan pasti mengambil masa beribu tahun untuk melunaskan semuanya. Tapi saya baru tersedar akan impian utama dan pertama yang selama ini menjalar dalam diri saya tanpa disedari. Iaitu KEBEBASAN untuk memilih.

Memilih jalan yang saya mahu lalui. Jalan yang walaupun penuh semak samun, hutan belantara, diselang pula dengan lautan api (cliche betul), saya hargai setiap satu yang mendatang, malah saya menghayati setiap hukum alam yang terbentang. Berbanding jalan yang penuh dengan fun fair, taman permainan, kompleks membeli belah, tetapi saya tidak mampu tersenyum sepanjang meneroka tempat-tempat tersebut. Salahkah saya mempunyai impian begini?

Syarat pertama cinta

Satu soalan yang kerap berlegar dalam kepala saya ‘bagaimana kita tahu itu cinta?’. Dan saya tidak maksudkan cinta pada pasangan sahaja, cinta pada ibu bapa, cinta pada rakan-rakan, cinta pada haiwan, cinta pada apa-apa sahaja makhluk Tuhan. Bagaimana kita tahu itu cinta? Lama saya cari jawapan. Hingga baru-baru ini, saya jumpa telahan yang saya rasa jawapan pertama untuk soalan tersebut.

Bagaimana kita tahu itu cinta? Bila kita BOLEH menerima seseorang dengan seadanya, buruk buruk buruk, lemah lemah lemah, hodoh hodoh hodoh dia, kita telan semuanya. Ya, telan. Bukan luah, sebar pada orang. Kita telan. Semuanya.

Seperti baja yang kelihatan buruk tapi bila diserap tanah, bunga membentuk kelopak2 nya.

Di sebalik tabir

Saya tidak pasti anda perasan atau tidak, tapi saya sedang melihat akan ‘nature’ anak-anak muda yang semakin dekat dengan agama, yang lantang berbicara, yang tidak putus-putus menyampai dakwah (ini sangat ketara di dunia maya) tapi saya juga melihat akan ‘nature’ semakin ramai anak muda yang terjatuh dalam lembah yang salah, makin bertambah lahirnya anak2 tidak berdosa yang dibuang merata, makin meruncing masalah sosial anak2 remaja. Apakah tidak sampai dakwah yang disampaikan oleh anak-anak muda yang lebih kurang sebaya dengan mereka? Yang sebaya adalah yang lebih dekat dengan kita. Apa-apa yang disampaikan, kita mudah menerima berbanding suara dari yang lebih tua atau lebih muda. Kerana itu, saya hairan. Apakah tidak sampai?
 
PS-Saya adakala cemburu dengan anak-anak muda yang penuh dengan ilmu agama dan elok susun atur kata menyampai dakwah. Tentu mereka2 ini juga fasih menyampaikan dakwah secara lisan, terutama pada yang dekat silaturrahim dengan mereka. Beruntung kan yang di keliling mereka.

Monday, 13 August 2012

Wishlist #1

Saya berharap suatu hari nanti akan diwujudkan satu kursus (untuk setiap level bermula dengan matrikulasi / diploma, degree, master juga PhD) berkenaan kucing. Semua tentang kucing.

Setiap semester akan belajar different kind of subjects. Ada subjek tentang nutrisi makanan kucing, tentang penjagaan baby kucing, tentang jenis-jenis kucing, subjek untuk memahami reaksi2 kucing, tentang bagaimana merawat kucing2 yang sakit, semua aspek lah senang cerita. Kira kalau rangkumkan semua boleh sampai ke level buat thesis untuk PhD.

Saya yang tak berhasrat menyambung PhD, memang dengan sepantas kilat akan mendaftar kursus kucing tersebut.

Bina memori

Satu perkara yang saya agak terkilan dengan susur galur hidup saya yang sebelum ini ialah (otak) saya tidak merekod dengan sempurna rangkap sifir memoir indah. Tidak pasti ada atau langsung tiada. Jika ada sekalipun, ia memintas semula tanpa terukir senyum di bibir, gelojak gembira di hati, ia hanya memintas begitu sepintas lalu.

Pada yang sedang membaca ini, bina lah memori. Bina lah dari sekecil-kecil batu di atas jalan, atau lampu-lampu jalan yang memayungi, juga bangunan-bangunan ada menemani. Supaya ia membentuk satu permainan lego yang lengkap sifatnya. Bila telah lengkap, jangan sesekali hancur ranapkan ia dengan tangan kalian sendiri. Jaga dan simpan di tempat yang selamat.

Pergi lah. Pergi lakukan apa yang anda minati, ingini. Berkayak? Bersukan? Mendaki gunung? Explorace? Merantau? Menanam bunga? Melukis? Bermain gitar? Merekacipta barang? Memasak? Membuat kek? Buat lah! Teruskan lah! Jangan tangguh! Cuma, pastikan bukan hanya jasad anda sahaja yang sedang bergerak menuruti kehendak diri. Jiwa anda PERLU turut hadir sama.

Friday, 10 August 2012

Terima kasih :')

Sebelum menonton video ini saya tidak menangis dalam jangka bulan yang agak lama (bagi seorang perempuan). Pernah, saya terpaksa paksa diri untuk menangis supaya sekali sekala boleh selamatkan hati saya yang kerap ‘tersumbat’.

 Terima kasih Fizi, Ahmad kerana membuatkan hati saya bernafas kembali.

Wednesday, 8 August 2012

Mula baru

Bismillahirahmanirrahim

Adakala saya diasak dengan keinginan untuk menulis rentak hidup harian. Tapi sering tergendala kerana rasa kekok dan tidak perlu. Semenjak bertambah angka pada usia, saya mula mengawal ketat sebarang kata-kata yang dipapar pada skrin. Agar kelak saya tidak kesal.

Tapi kali ini saya nekad. Nekad untuk menambah sedikit irama. Walau tidak membentuk lagu yang sempurna, saya mahu cuba membetulkan bait-bait nya. Agar lebih tenteram. Moga Allah bantu.