Thursday, 20 September 2012

56 perkara


Saya terjumpa buku nota sebesar tapak tangan berwarna coklat yang saya pernah jadikan ia sebagai ‘kotak besi’ menyimpan angan-angan. Dalam beberapa singkat masa, saya senaraikan 56 perkara yang saya mahu lakukan. Saya tak pasti bila saya catatkan kesemua 56 itu, tahun lepas kot? Ya, dah lama, saya terus lupa untuk sambung bila berhenti takat angka 56.

PS-Bila baca2 semula, tak sangka boleh terlintas segala keinginan tu dan hampir kesemuanya MASIH berpaut pada dahan impian saya!

Tentang paparan di laman sosial

Dari dulu saya agak kurang selesa untuk menonjolkan diri. Kerana itu dalam konteks berkongsi gambar di laman sosial, sangat jarang saya lakukan sedemikian. Saya tidak merasa perlu untuk itu. Malah di alam nyata, saya tidak lagi syok sendiri ambil gambar sendiri (faktor pentuaan mungkin? haha).

Tapi saya tidak ada masalah dengan mereka2 yang gemar berkongsi gambar di laman sosial. Itu hak masing-masing, bukan mereka mengganggu hidup saya pun. Cuma mungkin ini yang telah tertanam dalam diri, saya kurang berminat dengan kaum berlawanan jenis yang terlalu menonjolkan diri di alam maya. I mean, the photos, self-portraits, the daily life tales, haihhh jenis yang semua mahu kongsi pada seantero dunia begini lekas menjurus kepada istilah ‘major turn off’

Saturday, 15 September 2012

Berserah

Saya tidak mahu mempersoalkan, tapi sebagai manusia yang tidak punya antena masa depan, saya sering tertanya-tanya apakah surat jawapan yang saya pernah terima sebelum ini adalah palsu atau cuma ujian sementara atau tersilap alamatnya. Allahu’alim.

Momen rawak

Kadang-kadang saya tidak dapat tentukan momen yang bagaimana sebenarnya yang membuatkan hati saya dibalut gula-gula kapas. Adakala momen tersebut, saya enjoy hanya di ketika sarang waktu itu sahaja. Bila masa berlalu, bila saya mengingatinya semula, saya tidak tersenyum sendiri malah hati saya hanya kaku tanpa menikmati.

Namun, ada juga momen yang saya hanya terasa biasa-biasa sahaja di ketika itu, tetapi apabila saya mengingatinya semula tiba-tiba terdetak di hati ‘I like that moment’. Saya suka momen di mana pada malam hari saya berada di tempat berlainan, dan pada siangnya saya melihat persekitaran yang berlainan pula. Menyelusur jalan-jalan di setiap ketika, tidak lelapkan mata, melontar pandang ke luar jendela, menghayati hujan yang turun menimpa, melihat perubahan rona warna langit yang malamnya kelam siangnya bertebaran jingga warnanya, menghirup udara pagi yang berbeza notanya, menyaksi bangunan-bangunan yang tegak melata, ya, menyaksi persekitaran yang jauh berbeda dari sekitar malam sebelumnya. I like that moment.

Tuesday, 11 September 2012

September 11

Masha Allah, patutlah saya melancholy tak tentu pasal sejak dari buka mata bangun awal pagi, hingga tersedu-sedu di tengahari, sampai lah ke hujung petang ini. Rupanya telah genap setahun. Setahun yang tak pernah berubah, apatah berkurang.

Saturday, 8 September 2012

Tidak perlu

As much as saya semakin kurang gemar bercerita hal personal, saya juga tidak berkenan jika si dia (yang bakal mengharung kehidupan bersama) bercerita hal personal (i mean, kisah lovey dovey) di khalayak masyarakat (be it maya nor reality). Tak perlu dia membuat blog untuk saya, tak perlu dia terbitkan buku untuk saya. Kalau dia buat blog, atau buku sekalipun, saya mahu cuma saya sahaja yang baca.

Saya langsung tidak mengharap dia bercerita, bahkan saya mengharap agar cerita-cerita kami hanya berlegar di antara kami sahaja. Biar cuma saya tahu apa yang dia tahu, dan biar cuma dia tahu apa yang saya tahu. Langsung tak kisah kalau orang lain tak tahu.

Pasang surut

Saya sering tersenyum bila mengenangkan pasang surut blog dari tahun ke tahun. Atau lebih tepat perubahan yang saya alami. Dalam hati, bersyukur juga kerana Allah beri peluang untuk saya kalamkan carta diri dari semasa ke semasa. Dari situ boleh saksi sendiri perbezaan ketara saya yang 5 tahun dahulu, sekarang, dan moga-moga Allah masih beri peluang saya menjadi saksi saya yang 5 tahun akan datang.

Dan saya tak kejar apa-apa melalui blog yang dikongsi, tapi saya sangat hargai setiap patah yang anda baca. Mana yang baik, kita ambil teladan untuk masa depan. Mana yang kurang baik, jangan disimpan hingga menutup mata depan.

Friday, 7 September 2012

Memori yang tertinggal

Adakala saya mengalami kesukaran untuk menerima semula orang yang pernah wujud dalam memori pahit yang lepas. Kalau tidak pahit sekalipun, memori masam, masin juga termasuk memori yang saya mahu luputkan. Adakala bukan orang tersebut yang berkait dengan memori pahit, masam, masin, tapi disebabkan dia wujud dalam ruang masa yang sama, maka saya tidak mampu untuk mengasingkan kewujudan dia pada masa ‘salah’ itu. Seperti memotong bawang besar, terpercik pedih ke mata, walau tangan yang melakukan tugas.

Dan saya kagum pada mereka yang mudah ‘mengampunkan’ segala memori lepas atau dalam bahasa mudah ; move on.

Thursday, 6 September 2012

Tulis

Di satu ketika, saya hanya mahu dikenali pada apa yang saya tulis. Bukan latar belakang, bukan pencapaian, bukan pekerjaan, bukan paras rupa, bukan siapa-siapa. Hanya yang saya tulis.

Menulis untuk jiwa

Saya mula terbit keinginan untuk menulis, ketika di usia 14 tahun. Tetapi keinginan itu tidak diasah, hanya menulis biasa-biasa dan tergantung begitu sahaja. Sehingga lah saya di usia 17 tahun, saya seakan ‘mabuk’ dengan imaginasi yang direka sendiri.

Kerana itu, saya terdesak untuk mengurangkan ‘mabuk’ tersebut dengan menulis dan terus menulis berkajang banyak perkataan nya. Ya, banyak juga yang saya tulis (taip) di ketika itu. Bahkan, bila saya baca semula apa yang saya tulis itu, seakan tidak percaya ayat-ayat tersebut pernah terlintas di fikiran dan ditaip oleh tangan sendiri. Alhamdulillah. Semuanya ilham dari Tuhan.

Tetapi bila di ambang usia 20an, minat untuk menyusun koordinat imaginasi mula luntur. Saya tidak lagi (telah semakin kurang) berimaginasi akan sesuatu yang tidak wujud di sekeliling. Saya hanya menulis berdasarkan tafsiran yang jelas ada depan mata, atau yang wujud dalam dunia nyata. Alhamdulillah Tuhan masih lagi memberi ilham akan perkataan-perkataan yang baik dan sesuai untuk saya gunakan. Walaupun adakala saya terasa pelik juga bagaimana sesetengah perkataan boleh muncul dalam kotak minda saya (sedangkan perkataan2 itu tidak saya jumpa dalam mana-mana bentuk pembacaan), namun dari situ lah saya sedar akan kehebatan Nya yang menghantar satu-persatu abjad secara langsung dan tersembunyi.